Berita Utama

20 tahun menceroboh, isu hilang pendapatan tak patut bangkit!

Sudah berjuta kerajaan Pahang rugi kerana kebun haram Musang King

BANGI, 11 Zulhijjah 1442H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengingatkan semua pihak khususnya kumpulan pekebun haram di Pahang supaya tidak cuba menonjolkan kononnya menjadi mangsa keadaan.

Ini termasuk, sengaja membangkitkan isu kononnya tindakan pihak berkuasa dan kerajaan negeri ke atas kebun haram di Raub menyebabkan pekebun hilang punca pendapatan setelah 20 tahun.

Dalam satu kenyataan hari ini, PEMBELA menegaskan, isu hilang punca pendapatan tidak sepatutnya dibangkitkan penceroboh memandangkan tanah kebun berkenaan bukan hak milik mereka.

“20 tahun menceroboh, hari ini tidak dapat menceroboh dan menjarah hasil ceroboh. Apa yang kamu hairankan sangat?

“Sepanjang 20 tahun lalu, sudah berapa juta ringgit kerajaan negeri rugi kerana pencerobohan ini, termasuk wang cukai dan sebagainya,” katanya.

PEMBELA menegaskan, kerugian jutaan ringgit dialami kerajaan Pahang itu sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk pelbagai projek kesejahteraan rakyat seperti bantuan kepada individu miskin, pembangunan infrastruktur dan pendidikan.

Pertubuhan itu berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Musang King Alliance (SAMKA), Wilson Chang yang mendakwa bahawa pekebun hilang punca pencarian susulan tindakan pihak berkuasa memusnahkan kebun haram di Hutan Simpan Batu Talam, Raub.

Chang pada 11 Julai meluahkan rasa tidak puas hati dan tidak bersetuju dengan tindakan pihak berkuasa kerana menjejaskan kehidupan pekebun haram ketika tempoh pandemik ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button