Berita Utama

49 lelaki ditahan bantu siasatan ingkar SOP solat sunat Aidiladha

Mereka terdiri majoriti warga Bangladesh, seorang lelaki tempatan

BUKIT MERTAJAM, 11 Zulhijjah 1442H, Rabu – Polis menahan 49 individu setakat ini bagi membantu siasatan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan solat sunat Aidiladha di kawasan terbuka dan tepi jalan di Taman Pelangi, Juru, di sini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata semua mereka terdiri daripada 48 warga Bangladesh dan seorang lelaki tempatan ditahan secara berasingan di sekitar Juru.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai yang mungkin boleh merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya dan boleh membahayakan nyawa,” katanya dalam kenyataan.

Difahamkan kesemua mereka berusia 20 hingga 40-an itu ditahan apabila kira-kira 200 individu menunaikan solat Aidiladha di kawasan lapang berdekatan surau Taman Pelangi, Juru, selepas surau berkenaan sudah melebihi kapasiti 100 jemaah dibenarkan mengikut SOP perintah kawalan pergerakan.

Terdahulu, tular video di media sosial mengenai tindakan kumpulan lelaki di kawasan perumahan berkenaan sedang menunaikan solat di kawasan tempat letak kereta sehingga ke tepi jalan raya bermula jam 8.30 pagi hingga 9 pagi.

Sementara itu, Mohd Shuhaily berkata laporan berhubung kejadian itu telah diserahkan kepada Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani untuk memberi penjelasan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

“(Ketika ini) siasatan dan tindakan untuk kenal pasti semua individu yang terlibat untuk diambil tindakan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta Ketua Polis Pulau Pinang memberikan laporan dan penjelasan terperinci berhubung penugasan anggotanya yang dipertanggungjawab untuk memantau pematuhan SOP semasa perayaan Aidiladha.

Hamzah dilaporkan berkata laporan dan penjelasan itu perlu diberikan dalam kadar segera berikutan penularan video pelanggaran SOP ketika solat sunat Aidiladha di kawasan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button