Dunia

Indonesia longgar sekatan jika trend kes turun

Benarkan pasar keperluan harian beroperasi hingga jam 8 malam

JAKARTA, 11 Zulhijjah 1442H, Rabu – Indonesia akan melonggarkan sekatan pergerakan secara berperingkat mulai 26 Julai, jika trend kes jangkitan COVID-19 menurun, kata Presiden Joko Widodo. 

Negara itu telah menguatkuasakan sekatan akibat COVID-19 pada 3 Julai lalu ke atas Pulau Jawa dan Bali, meliputi larangan pergerakan dan penutupan pusat membeli-belah. 

Sekatan perjalanan turut dihadkan mengikut sektor tertentu, dan hanya membenarkan pekerja di sektor kritikal seperti tenaga serta kesihatan sahaja beroperasi. 

Susulan langkah itu, kadar beban penggunaan katil hospital dan pusat kuarantin COVID-19 dilaporkan menurun. 

“Kita selalu memantau dan memahami keadaan di lapangan serta mendengar suara-suara masyarakat yang terkesan PPKM (penguatkuasaan sekatan aktiviti awam di peringkat masyarakat). 

“Jika trend kes terus menurun, maka pada 26 Julai kerajaan akan menarik balik sekatan itu secara berperingkat,” kata Jokowi berucap di televisyen semalam.

Beliau berkata, pasar keperluan harian akan dibenarkan beroperasi sehingga jam 8 malam dengan kapasiti 50 peratus dan protokol kesihatan yang ketat, sementara pasar tradisional lain boleh dibuka sehingga jam 3 petang. 

Jokowi berkata, peniaga jalanan, kedai runcit, kedai telefon bimbit, kedai gunting rambut, dobi, bengkel dan penjaja kecil turut dibenarkan beroperasi sehingga jam 9 malam di bawah protokol kesihatan yang ketat. 

Katanya, kerajaan akan terus memberikan bantuan sosial seperti wang tunai, makanan asas dan kuota internet kepada pelajar.

Kes COVID-19 di Indonesia ketika ini antara yang tertinggi di dunia.  Dilaporkan, sebanyak 50,000 kes harian dalam tempoh seminggu terakhir. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button