Berita UtamaDunia

Pelampau Hindu di India makin agresif semai Islamofobia

Sebar ucapan kebencian selepas insiden kelar leher imam masjid

NEW DELHI, 23 Zulkaedah 1443H, Khamis – Pelampau Hindu di India – di bawah parti pemerintah diketuai Perdana Menteri, Narendra Modi – semakin agresif meneruskan jenayah perkauman dan ucapan kebencian mereka terhadap Islam, terutamanya selepas kes bunuh seorang imam masjid di bandar Siwan.

Kesan tindakan itu, platform media sosial di India menjadi medan melepaskan kemarahan selepas sumber media tempatan menyiarkan berita mengenai serangan perkauman baharu yang menyasarkan imam sebuah masjid di kampung Khalispur di bandar Siwan, negeri Bihar.

Menurut laporan media India, penyerang pelampau Hindu mengelar leher mangsa yang juga seorang warga emas ketika beliau sedang tidur.

Rata-rata pengguna Twitter – melalui beberapa tanda pagar #JusticeForSiwanMaulvi, #HinduTerrorism dan #India – menuntut satu penyiasatan adil serta tidak berat sebelah, bagi memastikan pelampau yang terbabit dalam kes bunuh itu bertanggungjawab, meskipun belum ada tangkapan dibuat setakat ini.

Kes itu telah dilaporkan di balai polis negeri berkenaan, dan ia sudah lebih seminggu berlalu sejak siasatan jenayah dimulakan.

Selama beberapa hari, pelbagai bahagian di India telah menyaksikan protes meluas yang mengecam tindakan provokasi anti-Islam dan kenyataan menghina yang dibuat oleh dua anggota parti pemerintah nasionalis Hindu, Parti Bharatiya Janata (BJP).

Pertempuran meletus antara umat Islam dan pelampau Hindu yang disokong polis di beberapa kawasan sehingga sekurang-kurangnya 400 orang ditahan.

Pemerhati percaya bahawa kumpulan pelampau Hindu mungkin meningkatkan tindakan balas mereka terhadap 195 juta umat Islam daripada 1.35 bilion penduduk negara itu, selepas kejayaan kempen menyokong Nabi terhadap pemimpin parti dan desakan kerajaan India untuk tidak memohon maaf. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button