Berita Utama

Langgar SOP: 49 lelaki direman bantu siasatan solat Aidiladha tepi jalan

48 warga asing direman 4 hari, seorang rakyat tempatan direman 3 hari

BUKIT MERTAJAM, 11 Zulhijjah 1442H, Rabu – Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan perintah reman ke atas 48 lelaki warga asing dan seorang warga emas tempatan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan solat sunat Aidiladha di Taman Pelangi, Juru semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam Hasliza Razak selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan kesemua suspek terbabit.

Kesemua 48 warga asing berumur antara 20 dan 43 tahun itu direman empat hari manakala seorang warga tempatan berusia 64 tahun direman tiga hari, bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu berhubung perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

Terdahulu semua suspek tiba di Mahkamah Majistret pada 10.10 pagi dengan memakai baju lokap polis.

Semalam, tular video di media sosial mengenai tindakan kumpulan lelaki di kawasan perumahan berkenaan sedang menunaikan solat di kawasan tempat letak kereta sehingga ke tepi jalan raya bermula 8.30 hingga 9 pagi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan turut memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap individu dan pihak penganjur yang menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan terbuka di Seberang Perai Tengah kerana melanggar SOP. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button