Dunia

Vaksin Sinopharm beri tindak balas lemah terhadap varian Delta

Tahap antibodi individu turun 1.38 kali ganda terhadap varian Delta

BEIJING, 11 Zulhijjah 1442H, Rabu – Vaksin Sinopharm dilaporkan memberi tindak balas antibodi yang lemah terhadap varian COVID-19 berbahaya Delta, menurut kajian.

Menurut kajian makmal di Sri Lanka, tahap antibodi pada individu yang menerima vaksin Sinopharm BBIBP-CorV mengalami penurunan 1.38 kali ganda terhadap varian Delta berbanding versi virus pertama dikenal pasti di Wuhan. 

Kajian dilakukan oleh saintis Universiti Sri Jayewardenepura serta Majlis Perbandaran Colombo di Sri Lanka dan Universiti Oxford di United Kingdom. 

Varian Delta pertama kali ditemukan di India pada akhir tahun lalu, dan menjadi versi virus dominan di seluruh dunia serta menyebabkan lonjakan kes jangkitan di kebanyakan negara termasuk Britain, Indonesia, Amerika Syarikat dan Korea Selatan. 

Varian berkenaan turut dikesan di lebih daripada 90 negara di seluruh dunia. 

Vaksin Sinopharm turut didakwa menunjukkan penurunan kadar antibodi 10 kali lebih ketara terhadap varian Beta, yang pertama kali dijumpai di Afrika Selatan. 

Vaksin dua dos itu adalah antara suntikan imunisasi COVID-19 yang paling banyak digunakan di China, dan Sinopharm bersetuju untuk memberikan sehingga 170 juta dos kepada kemudahan COVAX. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button