Berita Utama

Ayuh bantu hebahkan petisyen ‘Jangan Kuburkan Kes Adib’

Politikus jangan anggap ini isu picisan yang boleh diabaikan begitu saja

BANGI, 25 Safar 1443H, Sabtu – Petisyen ‘Jangan Kuburkan Kes Adib’ diharap dapat ‘membuka mata’ pihak berkuasa bahawa rakyat tidak akan berdiam diri selagi mana isu kematian anggota bomba tidak mendapat pembelaan.

Sehingga jam 11 pagi tadi, petisyen yang dilancarkan PEMBELA sebagai tanda solidariti rakyat negara ini terhadap Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim mengumpul 7,338 tandatangan.

PEMBELA sebelum ini menzahirkan rasa kecewa berhubung kes kematian Allahyarham Muhammad Adib yang ditutup dan hanya akan dibuka semula jika terdapat bukti baharu.

Selain itu, kenyataan yang dikeluarkan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin juga menimbulkan persoalan sama ada siasatan masih diteruskan untuk mendapat bukti baharu atau sekadar menunggu mana-mana pihak membuat laporan.

Terdahulu, Zuraida berkata, kerajaan kini akan memberi fokus terhadap keperluan keluarga Allahyarham Muhammad Adib.

Walhal, sebelum ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin memaklumkan 18 individu telah dituduh dibawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan perbicaraan dilaporkan tamat pada 23 September.

Dua tertuduh telah dituduh dibawah Seksyen 427 iaitu khianat dan dikenakan denda RM7,000 setiap seorang.

“Polis Diraja Malaysia juga telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara berkenaan 12 suspek yang turut ditahan berkaitan kes ini untuk arahan selanjutnya,” katanya.

Menerusi hantaran di Facebook, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya memohon jasa baik orang ramai untuk membantu memperluaskan lagi petisyen ini.

“Berdasarkan pengalaman-pengalaman lalu, jika sesebuah petisyen itu mendapat sambutan, media-media tempatan akan ‘pickup’ isu ini dan akhirnya menyebabkan pemegang kuasa tergerak kerana tertekan.

“Jika tidak, politikus-politikus tidak akan rasa tergugat dan merasakan isu ini isu picisan yang boleh diabaikan begitu sahaja,” katanya.

Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Pautan petisyen: https://www.change.org/p/kerajaan-malaysia-jangan-kuburkan-kes-kematian-adib

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button