Berita UtamaDunia

Arab Saudi larang individu tak divaksin ke tempat awam bermula 1 Ogos

Warga Arab Saudi perlu selesai 2 dos vaksin sebelum ke luar negara

RIYADH, 12 Zulhijjah 1442H, Khamis – Arab Saudi melarang rakyat dan penduduk yang tidak divaksinasi daripada memasuki tempat awam, seperti pusat membeli-belah dan restoran mulai 1 Ogos, demikian umum Kementerian Perbandaran dan Luar Bandar Kerajaan.

“Siapa pun yang belum diinokulasi terhadap coronavirus tidak akan dibenarkan memasuki pusat membeli-belah, kedai runcit dan pasar,” menurut kementerian itu, semalam.

Orang ramai juga perlu menunjukkan bukti vaksin yang dibenarkan untuk masuk ke restoran, kafe, kedai gunting rambut lelaki, salon kecantikan, majlis perkahwinan dan pesta.

Awal minggu ini, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan bahawa mulai 9 Ogos, semua warga Arab Saudi akan diminta untuk mengambil dua dos vaksin COVID-19 sebelum melakukan perjalanan ke luar negara.

Pengumuman itu dibuat susulan penyebaran varian baharu virus, keberkesanan rendah satu dos vaksin terhadap varian baharu tersebut serta berdasarkan kajian dan penyelidikan saintifik yang menunjukkan bahawa penerimaan dua dos akan melindungi komplikasi varian virus, kata Saudi Press Agency (SPA) yang memetik Kementerian Kesihatan.

Arab Saudi melaporkan sejumlah 513,284 kes COVID-19, di mana 10,799 daripadanya masih aktif. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button