Berita Utama

Ketua balai polis berpesta di balai positif ganja

‘Mereka tidak akan dilindungi, sebaliknya tindakan tegas akan diambil‘: Pengarah JIPS

KUALA LUMPUR, 12 Zulhijjah 1442H, Khamis – Salah seorang anggota polis yang ditahan kerana berpesta di balai polis di Kajang disahkan positif dadah, kata Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Azri Ahmad.

Beliau berkata, hasil saringan ujian air kencing mendapati ketua balai polis (OCS) berkenaan positif dadah jenis ganja dan direman dua hari untuk siasatan lanjut.

“Sampel akan dihantar untuk ujian sekali lagi dan jika ternyata positif juga, dia akan didakwa. Mereka juga sejak dari itu telah ditarik dari tugas aktif,” katanya, hari ini.

Polis Kajang akan menyiasat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dan sama ada terdapat unsur jenayah yang melibatkan empat anggota polis dan empat yang lain, yang berpesta di balai polis, katanya.

“JIPS akan menyiasat keempat-empat polis tersebut atas kesalahan dan pelanggaran peraturan penjawat awam. Tindakan akan diambil tanpa rasa takut atau pilih kasih,” kata Azri.

Pada masa sama, beliau menegaskan bahawa polis tidak akan berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap anggota polis atau pegawai yang terlibat dalam kesalahan atau jenayah.

“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Mereka yang melakukan kesalahan ini hanyalah kumpulan kecil.

“Mereka tidak akan dilindungi, sebaliknya tindakan tegas akan diambil terhadap mereka,” katanya

JIPS Bukit Aman menahan empat anggota polis dan empat orang awam setelah menemui mereka berhibur di dalam sebuah balai polis di Kajang pada hari Selasa.

Mereka yang ditangkap berusia antara 21 dan 37 tahun dan ditangkap ketika mereka sedang berpesta.

JIPS juga merampas pelbagai barang termasuk botol alkohol, lampu disko dan sistem bunyi semasa serbuan di balai polis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button