Berita UtamaDunia

Masjid kem pelarian Rohingya di India diroboh?

Polis nafi roboh masjid dakwa ia hanya sebuah pondok

NEW DELHI, 12 Zulhijjah 1442H, Khamis – Polis dan pihak berkuasa sivil di ibu negara India merobohkan sebuah masjid sementara di sebuah kem Rohingya beberapa minggu selepas kebakaran besar melanda penempatan itu.

Masjid yang dibina daripada kepingan terpal dan buluh, dirobohkan kira-kira jam 7 pagi waktu tempatan hari ini, di kem yang terletak di kawasan Madanpur Khader di New Delhi.

Hampir 300 pelarian, yang kebanyakannya melarikan diri daripada tindakan keras tentera di negara jiran Myanmar – yang majoriti Buddha – memberitahu Al Jazeera struktur itu dirobohkan walaupun mereka meminta pihak berkuasa untuk tidak melakukannya.

Etnik Rohingya yang majoriti muslim berkata, mereka dibiarkan tanpa tempat untuk beribadah.

Menurut pelarian yang dikenali sebagai Mohammad, 33, perobohan itu bermula sejam selepas solat sunat Fajr di masjid.

“Pada awalnya, mereka merobohkan tandas dan bilik air, mencabut pam air tangan dan kemudian merobohkan masjid – semuanya dalam masa 10 minit,” katanya.

Katanya lagi, ketika pelarian berusaha untuk memprotes, pihak berkuasa sebaliknya mengatakan bahawa mereka adalah ‘pendatang asing tanpa izin’ yang tinggal di kem dengan ‘menceroboh tanah’.

Seorang pegawai di balai polis Kalindi Kunj yang berdekatan memberitahu Al Jazeera bahawa struktur yang dirobohkan itu bukan sebuah masjid, sebaliknya hanya sebuah pondok.

Dia enggan menjawab soalan lebih lanjut. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button