Berita Utama

PdPR semakin teratur, pelbagai kaedah pelaksanaan imbangi keperluan pelajar

Kini ia semakin diterima oleh pihak-pihak yang terlibat

KUALA LUMPUR, 12 Zulhijjah 1442H, Khamis – Selepas lebih setahun pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kini ia semakin difahami pihak-pihak terlibat dengan penambahbaikan sentiasa dilakukan dari semasa ke semasa, bagi memastikan keberkesanannya.

Memasuki tahun kedua pelaksanaannya yang terpaksa dilakukan berikutan ancaman pandemik COVID-19, semakin ramai juga yang menyedari bahawa PdPR bukan lagi hanya dilakukan secara dalam talian, sebaliknya turut dilaksanakan secara luar talian, seperti dengan kaedah menyediakan modul mengikut keperluan dan kemampuan pelajar.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Aminuddin Awang berkata, penambahbaikan sentiasa dilakukan oleh pihak guru, hasil daripada pengalaman pelaksanaan PdPR sejak tahun lepas.

“Pelaksanaan PdPR 1.0 (kali pertama) dahulu semua orang ‘zero’. Cikgu pun masa nak mula memang tidak ada pengalaman, semua orang masa itu tidak biasa kerana mereka (guru) dilatih mengajar dalam suasana normal, iaitu suasana mengajar di sekolah bukan untuk PdPR.

“Jadi inisiatif sendirilah yang mana mereka bina dan teroka ilmu, maklumat sendiri. Sekarang bila sudah masuk tahun kedua, saya rasa pengalaman hendak mengurus itu sudah ada, apatah lagi PdPR kini juga dilaksanakan (dengan kaedah seperti) menggunakan modul pembelajaran yang diedarkan kepada pelajar, sebelum menyerahkan hasil tugasan mengikut tempoh yang diberikan,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun Aminuddin berkata, masih terdapat kekangan dalam pelaksanaan PdPR menggunakan modul ini, apabila terdapat segelintir ibu bapa yang tidak datang ke sekolah untuk mengambil tugasan anak-anak mereka.

“Ada ibu bapa yang bagi kerjasama baik, tetapi ada juga ibu bapa yang sukar untuk berbuat demikian, mungkin kerana mereka terpaksa bergerak dalam keadaan COVID-19 yang membimbangkan lagi, jadi mereka abaikan sahaja modul yang telah guru-guru letakkan di pondok pengawal sekolah. Itulah antara halangannya,” katanya.

Aminuddin mengakui, impak PdPR mungkin tidak sebaik proses Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) secara bersemuka, namun sekiranya isu PdPR secara dalam talian dan ‘real time’ dapat ditangani sepenuhnya, kesannya akan lebih positif.

Justeru, pihaknya berharap kerajaan dapat menyediakan peruntukan khas dalam belanjawan akan datang, bagi menyediakan peranti mudah alih seperti telefon pintar dan capaian internet yang baik.

“Penguasaan dan keupayaan melaksanakan dan mengikuti PdPR secara dalam talian sepenuhnya, akan lebih baik dengan syarat kena ada peranti dan capaian internet untuk sesuatu proses PdPR itu lengkap.

“Kita tidak tahu, mungkin pendidikan digital akan berterusan tahun hadapan, jadi kita harap ada peruntukan khas daripada kerajaan, untuk beri bantuan kepada pelajar yang kurang berkemampuan memiliki sekurang-kurangnya telefon pintar, bagi memastikan tidak ada pelajar yang tercicir daripada PdPR secara dalam talian,” katanya.

Katanya di samping itu, NUTP juga berharap agar ada inisiatif kepada guru-guru mungkin dalam bentuk rebat, untuk membolehkan mereka membeli komputer riba sebagai motivasi mereka meneruskan PdPR mengikut normal baharu, memandangkan selama ini mereka hanya menggunakan kemudahan sendiri.

Pada 17 Julai lalu, Kementerian Pendidikan (KPM) memaklumkan sesi persekolahan secara PdPR akan diteruskan sehingga 31 Ogos tahun ini, mengambil kira situasi semasa pandemik COVID-19 serta perbincangan bersama Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

KPM juga telah membuat ketetapan bahawa sekolah akan dibuka secara berperingkat untuk PdP bersemuka mulai 1 Sept, mengambil kira kadar vaksinasi yang melibatkan guru, pentadbir dan kakitangan sokongan.

Sehingga 16 Julai, seramai 253,366 orang guru dan pentadbir (61.30 peratus) serta 10,876 orang kakitangan sokongan (46.33 peratus), telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button