Berita Utama

RCI siasat TH sudah memadai bongkar wujud salah laku

Perlu tambah baik terhadap Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535)

BANGI, 12 Zulhijjah 1442H, Khamis – Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sudah memadai jika mahu memastikan ketelusan Lembaga Tabung Haji (TH) bertaraf dunia dan membongkar segala salah laku yang pernah berlaku dalam agensi itu.

Setiausaha Agung Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ir Muhammad Lukman Al Hakim berkata, pihak pengurusan tertinggi TH sendiri telah bersetuju untuk memberikan kerjasama penuh dalam hal ini.

“Pun begitu, RCI adalah bersifat ‘investigative’ dan reaktif terhadap masalah yang telah pun berlaku. Kita sebenarnya memerlukan satu langkah proaktif yang lebih bersifat ‘preventive’ (mencegah).

“Justeru, saya melihat penambahbaikan terhadap Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) itu sendiri amat penting selain mekanisme ampuh dalam melantik ahli lembaga pengarah yang benar-benar bersih, amanah dan berkemahiran luas dalam bidang kewangan Islam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dengan penubuhan RCI tersebut, maka tidak perlu lagi TH diubah pihak yang mengawal selianya kepada Bank Negara Malaysia (BNM) seperti yang telah dicadangkan oleh kerajaan.

Malah, Muhammad Lukman menyifatkan tindakan meletakkan TH di bawah BNM jelas merupakan satu langkah ke belakang yang akan membataskan visi, misi dan peranan utamanya.

“TH bukan bank. Ia adalah satu institusi pengurusan kewangan dan pelaburan umat Islam dengan tujuan utama bagi memudahkan umat Islam di Malaysia menyempurnakan rukun Islam kelima.

“Dengan jumlah deposit mencecah RM73 billion dan keuntungan bersih setengah tahun pada angka RM1.25 billion (2020), sudah tentulah ia diangggap ‘lubuk emas’ dan menjadi tumpuan dan rebutan semua pihak.

“Ia berbeza dengan bank-bank yang dikawal selia oleh Akta Bank Negara Malaysia 2009, kerana TH ditadbir berdasarkan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535),” tegasnya

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button