Berita Utama

Janji PN perangi rasuah jangan sekadar gimik pilihan raya

Perjuangkan juga agenda nasional, perkasa Islam dan hak Bumiputera

BANGI, 7 Rabiulakhir 1443H, Jumaat – “Bagus tapi bukan hanya untuk gimik pilihan raya.”

Demikian kenyataan ringkas pemerhati politik, Ustaz Haji Omar Kassim selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa kesemua 28 calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menandatangani aku janji sebagai komitmen memerangi rasuah.

Terdahulu, Pengerusi PN itu menjelaskan, tindakan berkenaan selari dengan pendirian yang didukung gabungan itu untuk menentang salah guna kuasa dan rasuah serta akan memberi layanan yang adil kepada semua pihak.

“Ini adalah jaminan PN dan jaminan yang sama untuk rakyat Melaka. Untuk menunjukkan kita komited perangi rasuah, kita telah sediakan aku janji dan calon perlu menandatangani aku janji ini dalam sehari dua.

“Ini untuk memberitahu rakyat bahawa kerajaan yang dibentuk selepas 20 November ini adalah kerajaan PN Melaka dengan dasar yang diamalkan berteraskan kepada prinsip yang saya jelaskan tadi,” katanya.

Pun begitu, Ustaz Omar berpandangan bahawa pendirian tersebut tidak mencukupi bahkan perlu ditambah lebih-lebih lagi dalam memperjuangkan agenda nasional.

“Tidak mencukupi hanya sekadar itu. Perjuangkan juga agenda nasional.

“Memperkasakan Islam dan hak Bumiputera. Keadilan buat yangg tertindas seperti Adib dan pemerkasaan sistem Islam yang menjamin keadilan buat semua dan lain-lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas selepas empat Ahli Dewan Undangan Negeri menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button