Dunia

Agihan vaksin ‘tak seimbang’ punca wabak COVID-19 sukar ditamatkan

Pastikan vaksin dibahagi secara cepat ke negara miskin

GENEVA, 13 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Ketidakseimbangan pemberian vaksin antara halangan utama wabak COVID-19 lupus di seluruh dunia, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan bersama oleh Program Pembangunan PBB (UNDP) dan Universiti Oxford. 

Data itu mendapati ketidaksamaan pemberian vaksin COVID-19 akan memberi kesan kekal dan mendalam terhadap pemulihan sosio-ekonomi di negara-negara berpendapatan rendah. 

Atas dasar itu, perlu bagi memastikan akses yang adil kepada setiap negara, termasuk pembahagian dos.

“Ketidakseimbangan pemberian vaksin adalah halangan terbesar di dunia untuk mengakhiri wabak pandemik ini.

“Dari segi ekonomi, epidemiologi dan moral, kepentingan terbaik semua negara menggunakan data terbaru yang sedia ada untuk menyediakan vaksin bagi menyelamatkan nyawa semua,” katanya. 

WHO berkata, pengeluaran dan pembahagian dos vaksin yang mencukupi kepada negara berpendapatan rendah boleh menambah AS$38 bilion mengikut ramalan KDNK tahun 2021, jika mempunyai kadar vaksinasi sama seperti negara berpendapatan tinggi.

Justeru, ini adalah waktu yang tepat untuk memastikan vaksin dibahagi secara cepat ke negara miskin, tatkala negara-negara kaya cuba merangsang ekonomi untuk berkembang. 

WHO meminta menghapuskan halangan untuk meningkatkan pengeluaran vaksin dan mendapatkan sokongan pembiayaan sehingga dos diedarkan secara adil bagi pemulihan ekonomi. 

“Di beberapa negara berpendapatan rendah dan sederhana, kurang daripada 1 peratus populasi diberi vaksin – ini menyumbang kepada pemulihan dua hala daripada pandemik COVID-19.

“Justeru, satu tindakan kolektif yang pantas diperlukan untuk tangani isu ini,” katanya.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button