Dunia

Australia lulus vaksin Pfizer untuk kanak-kanak 12 hingga 15 tahun

TGA nilai semua bukti domestik, antarabangsa sebelum lulus

SYDNEY, 13 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Badan pengawal selia ubat-ubatan Australia hari ini meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech untuk kegunaan individu berusia 12 tahun hingga 15 tahun, kata Menteri Kesihatan Persekutuan, Greg Hunt. 

Pentadbiran Barang Terapi Australia (TGA) telah menilai secara menyeluruh bukti domestik dan antarabangsa sebelum meluluskan vaksin Pfizer-BioNTech untuk diberikan kepada kumpulan usia itu, kata Hunt dalam satu kenyataan. 

Kebenaran sama untuk penggunaan vaksin pada kanak-kanak juga telah dipersetujui oleh badan pengawal selia ubat-ubatan di Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan Britain beberapa minggu lalu. 

Setakat ini, vaksin Pfizer-BioNTech hanya dipersetujui untuk diberikan kepada individu berusia 16 tahun ke atas di Australia. 

Hunt memberitahu, panel vaksinasi Australia akan memberi nasihat mengenai kumpulan kanak-kanak mana yang akan diberi keutamaan untuk pemberian vaksin dan bila ia mula dilaksanakan. 

Dengan lebih 32,400 kes dan 915 kematian akibat COVID-19, Australia dilaporkan menangani wabak pandemik itu jauh lebih baik berbanding kebanyakan negara maju lain. 

Bagaimanapun, kadar pemberian vaksinasi di negara itu dilaporkan masih berada pada fasa perlahan. 

Perdana Menteri, Scott Morrison pada Khamis meminta maaf terhadap kelewatan program vaksinasi dan mahu mencapai sasaran imunisasi populasi dewasa menjelang akhir tahun 2021.

Setakat ini, hanya kurang 15 peratus populasi dewasa di Australia yang telah menerima suntikan vaksinasi COVID-19 sepenuhnya.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button