India nafi kajian AS dakwa berjuta kes kematian akibat COVID-19
Tetap pertahan hanya 420,000 kematian meski kes melonjak

NEW DELHI, 13 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Kerajaan India menolak kajian penyelidikan antarabangsa yang mendakwa jutaan rakyatnya meninggal dunia akibat wabak COVID-19.
Sebaliknya, pemerintah menjelaskan angka rasmi kes kematian kini mencecah hampir 420,000 setelah negara itu menangani lonjakan kes pada bulan April dan Mei.
Selasa lalu, sebuah kajian kumpulan penyelidikan Amerika Syarikat (AS) – Pusat Pembangunan Global – mendakwa kira-kira 3.4 juta hingga 4.7 juta orang meninggal dunia di India, lapan hingga 11 kali ganda daripada angka rasmi.
Angka itu menjadikan India sebagai negara yang mempunyai kadar kes kematian tertinggi di dunia.
Sedangkan jumlah rasmi yang dikeluarkan kerajaan itu merekodkan India berada di tempat ketiga selepas AS (610,000 kematian) dan Brazil (545,000 kematian).
Kajian terbaharu itu menimbulkan keraguan terhadap jumlah rasmi kes kematian di India, yang menunjukkan rekod lemah serta kadar kematian per juta adalah sekitar separuh purata global.
Bagaimanapun, kerajaan India mendakwa kajian itu hanyalah tanggapan berani dan kemungkinan mereka yang meninggal dunia kerana jangkitan adalah sama di seluruh dunia.
“Dengan mengandaikan bahawa semua kematian yang berlebihan disebabkan oleh wabak, tidak berdasarkan fakta dan ianya salah,” kata India.
Kerajaan itu mendakwa, India mempunyai strategi mengesan kontak rapat menyeluruh dan keupayaan makmal ujian, maka tidak mungkin pihaknya terlepas angka kematian.
Namun, kerajaan India masih menasihatkan pihak berkuasa tempatan melaksanakan audit menyeluruh dalam beberapa minggu terakhir bagi mengemaskini angka terbaharu.
Setakat ini, Maharashtra adalah negeri yang paling teruk terjejas dengan 15,000 kes kematian diikuti Bihar (4,000 kematian) dan Madhya Pradesh (1,500 kematian).- Agensi