Indonesia mungkin jadi tempat varian baharu lebih ganas membiak
Varian baharu sering muncul di wilayah atau negara yang tak dapat kendali wabak

JAKARTA, 13 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Gelombang penularan COVID-19 yang berlaku sangat pantas dengan skala lebih besar di Indonesia berkemungkinan akan mewujudkan tempat bagi varian baharu untuk membiak.
Pakar penyakit berjangkit seluruh dunia memberi amaran bahawa Indonesia berpotensi menjadi tempat membiak varian baharu yang akan merebak dan membawa maut berbanding varian Delta.
Minggu lalu, Indonesia melepasi India dan Brazil, menjadi negara yang melaporkan jumlah kes harian tertinggi di dunia. Pada hari Khamis, Nusantara melaporkan lebih dari 49,500 kes baru dan 1,449 kematian.
“Varian baharu selalu muncul di wilayah atau negara yang tidak dapat mengendalikan wabak,” kata ahli epidemiologi Indonesia, Dicky Budiman, yang meneliti varian coronavirus di Griffith University di Australia.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, jika lebih daripada 5 peratus ujian disahkan positif, wabak itu akan menjadi tidak terkawal.
Di Indonesia, angka jangkitan terkini dicatatkan lebih tinggi berbanding 10 peratus selama 16 bulan pada awal pandemik, kini lebih tinggi daripada 30 peratus.
“Anda dapat membayangkan betapa tinggi kemungkinan Indonesia untuk membuat varian baharu atau varian super COVID-19,” katanya.
Sementara itu, pengarah di Institut Eijkman, sebuah organisasi kerajaan yang mengkaji penyakit berjangkit tropikal, Amin Soebandrio mengatakan, sementara tidak ada varian baharu yang muncul di Indonesia, sikap berjaga-jaga sangat penting.
“Dengan meningkatnya kes, kami tidak dapat menyangkal hal itu mungkin berlaku dan harus menilai dengan teliti untuk mengenali varian baharu secepat mungkin setelah ia muncul,” katanya. – Agensi