Jangan terpedaya gimik jualan murah di internet
Produk dijual dari laman sesawang, aplikasi tak berdaftar

BANGI, 13 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan sebarang gimik jualan murah di internet.
Ini kerana, kebanyakan produk itu dijual dari laman sesawang atau aplikasi tidak berdaftar di dalam negara dan tidak tertakluk kepada akta di dalam Malaysia, kata Jabatan Komunikasi Korporat SKMM dalam satu kenyataan.
Katanya, pengguna akan menghadapi masalah untuk mendapatkan hak pengguna daripada platform berkenaan jika kualiti produk yang dibeli melalui gimik jualan murah itu gagal memenuhi jangkaan yang dikehendaki.
“Justeru, sebagai langkah yang lebih selamat, orang ramai adalah digesa untuk lebih bijak dalam menilai jualan dan promosi di platform e-dagang sedemikian.
“Sentiasa berwaspada dengan promosi yang dijalankan dan platform yang gunakan ketika melakukan transaksi,” katanya.
SKMM juga meminta orang ramai meneliti syarat-syarat perkhidmatan dan polisi yang berkaitan dengan pembayaran balik serta pampasan ditetapkan oleh penyedia platform e-dagang, bagi melindungi diri terdedah kepada risiko tidak diingini.