Berita Utama

Keputusan ujian kit kendiri perlu dilapor dalam MySejahtera

Jika positif, sila hadir ke CAC atau fasiliti kesihatan swasta

PUTRAJAYA, 13 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Sebarang hasil keputusan menerusi penggunaan ujian kit kendiri COVID-19 sama ada positif, negatif atau tidak sah (invalid) perlu dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pengguna perlu bertanggungjawab untuk melaporkan keputusan sebenar dan tidak melakukan pemalsuan bagi mencegah implikasi jangkitan kepada orang lain.

Katanya, jika keputusan ujian kit kendiri positif, pengguna perlu hadir ke fasiliti kesihatan swasta, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) atau mana-mana Klinik Kesihatan (KK) untuk tujuan penilaian kesihatan, sebelum status kesihatan mereka dimuat naik dalam aplikasi MySejahtera.

“Sekiranya keputusan negatif tetapi individu berkenaan bergejala, mereka turut dinasihatkan hadir ke klinik swasta atau KK untuk penilaian sama, manakala untuk keputusan invalid, pengguna perlu ulang semula ujian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) secara maya bersama Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin hari ini.

Setakat Khamis lepas, KKM menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) telah memberi kelulusan bersyarat kepada tiga jenis kit ujian kendiri COVID-19 untuk dijual dan diguna di negara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button