Berita Utama

Khidmat doktor kontrak dilanjut 2 tahun

Tambah baik kemudahan atau faedah kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak

KUALA LUMPUR, 13 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Kerajaan bersetuju agar pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan kontrak perkhidmatan untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Jelasnya, ia merupakan antara beberapa langkah penyelesaian segera dipersetujui Kabinet selepas kertas cadangan berhubung penambahbaikan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak itu dibentangkan Kementerian Kesihatan (KKM) kepada Mesyuarat Kabinet pada 14 Julai lepas.

“Kerajaan amat memahami tuntutan kumpulan petugas kesihatan berstatus kontrak ini dan sedar bahawa sumbangan dan peranan mereka sebagai barisan hadapan adalah amat penting dalam memberikan perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat, terutamanya dalam situasi pandemik COVID-19,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun bagi pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button