Berita Utama

Lelaki maut ditembak rakan di Marang

Suspek berusia 56 tahun lepaskan dua das tembakan guna senapang patah milik Rela

MARANG, 13 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Timbalan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Wakaf Tapai, Fong Swee Fuan, 65 maut ditembak oleh rakannya dalam kejadian di Taman Raya, Wakaf Tapai dekat sini, hari ini.

Turut cedera adalah anak saudaranya, Teo Hock Beng, 45 yang telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.

Sebelum kejadian itu, kedua mangsa dilaporkan berada bersama suspek di kawasan rehat di kawasan perumahan berkenaan.

Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, siasatan awal mendapati suspek yang berusia 56 tahun melepaskan dua das tembakan menggunakan senapang patah dipercayai milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) ke arah kedua mangsa.

“Sebelum meninggalkan lokasi kejadian, suspek didakwa mengeluarkan amaran yang dia mempunyai 75 butir peluru dan akan membunuh lebih ramai orang sebelum membunuh diri.

“Suspek yang melarikan diri dengan menaiki sebuah jip berjaya ditahan di kawasan kebun di Durian Mentangau, Dungun pada 4.20 petang tadi.

“Kita turut merampas senjata yang digunakan suspek untuk menembak kedua mangsa,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Rohaimi berkata, siasatan awal mendapati mangsa dan suspek adalah kawan rapat serta tinggal di kawasan sama.

Beliau menafikan dakwaan bahawa kejadian itu mempunyai kaitan dengan kes judi mahupun minuman keras dan tiada sebarang botol minuman keras atau unsur perjudian dijumpai di lokasi kejadian.

Katanya, motif sebenar kejadian berkenaan masih dalam siasatan dan masyarakat diminta tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.

“Kita sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan dengan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Mayat Fong dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk proses bedah siasat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button