Berita Utama

‘Manifesto PRU14 pun gagal, tiba-tiba janji nak selesai COVID-19’

Politiking murahan diguna untuk tipu rakyat lemah akal

BANGI, 13 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Datuk Seri Abdul Hadi Awang meminta rakyat berfikir secara matang menilai kemampuan parti tertentu yang mendakwa mampu menyelesaikan masalah COVID-19, sedangkan sebelum ini gagal menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Tanpa menamakan parti berkenaan – namun dipercayai merujuk Pakatan Harapan (PH) -, Presiden PAS itu berkata, amalan politiking murahan itu digunakan semata-mata untuk menipu rakyat yang lemah akal dan mudah lupa dalam segala perkara.

Beliau berkata, parti berkenaan tidak berusaha memenuhi kewajiban menunaikan manifesto sehingga janji PRU14 itu tenggelam dalam perbalahan perebutan jawatan Perdana Menteri.

“Adakah mereka yang tidak mampu menunaikan janji PRU14 yang sedikit, tiba-tiba hari ini mendakwa mampu menyelesaikan masalah COVID-19 yang sedang merebak ke seluruh alam di muka bumi.

“Walhal, sehingga sekarang belum ada mana-mana negara yang berjaya menanganinya,” katanya dalam tulisan Minda Presiden PAS, hari ini.

Atas sebab itu, Abdul Hadi mempersoalkan apakah dakwaan parti terbabit masih boleh dipercayai dengan berdemontrasi dan mengangkat slogan kononnya mampu menghadapi wabak yang melanda seluruh dunia hari ini.

“Sedangkan mereka baru saha menipu rakyat dengan janji manifesto yang tidak mampu ditunaikan? 

“Berpolitik tidak seharusnya menjadi seperti penjual ubat yang menipu pelanggan dengan menggunakan cara kotor yang diharamkan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat dihabiskan masa dengan cara politik kotor khususnya disebarkan melalui media tanpa sempadan yang membawa wabak merosakkan kefahaman dan mempengaruhi masyarakat sehingga ramai diperbodohkan.

“Caranya hanyalah menyebarkan masalah yang belum selesai di seluruh dunia sebagai alasan kegagalan dan menutup banyak kejayaan yang telah dicapai.

“Lebih parah sekiranya gerakan yang merosakkan masyarakat ini didalangi oleh musuh agama, negara dan bangsa yang bersedia memberikan seberapa banyak sumbangan kepada sesiapa sahaja yang bersedia menjadi tentera upahannya.

“Lebih malang lagi, apabila penganut Islam berwalikan (bertuankan) kepadanya,” kata Abdul Hadi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button