Berita Utama

Waspada sindiket manipulasi bayaran bil utiliti

Polis terima laporan babit kerugian berjumlah RM8,500

BANGI, 13 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan modus operandi jenayah baharu yang memanipulasi sistem pembayaran bil utiliti untuk memperdaya mangsa.

Dalam kes dilaporkan, sindiket penipuan akan menghubungi mangsa yang mempunyai tunggakan bil utiliti dan menawarkan diskaun sekiranya mangsa membenarkan pihak mereka melunaskan bayaran itu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihak sindiket akan mendahulukan wang mereka dalam urusan itu dan mendakwa resit bayaran digunakan untuk mendapatkan pengecualian cukai.

“Setelah mendapat persetujuan mangsa, pihak sindiket akan menggunakan cek-cek yang tiada nilai (cek tendang) untuk membuat pembayaran melalui mesin deposit milik penyedia perkhidmatan utiliti.

“Setelah pembayaran dibuat, sistem penyedia perkhidmatan akan memaparkan rekod bahawa bayaran bil telah dibuat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihak sindiket kemudian akan meminta mangsa membuat pindahan wang kepada mereka melalui akaun bank milik pihak ketiga.

Katanya, mangsa hanya akan sedar telah ditipu apabila pihak penyedia perkhidmatan gagal menunaikan cek-cek yang dimasukkan.

“Sehingga kini, satu laporan polis telah diterima di Kuala Lumpur pada bulan Julai 2021 melibatkan kerugian berjumlah RM8,500.

“Kes masih dalam siasatan. Pihak polis menggesa orang ramai yang mungkin telah menjadi mangsa untuk tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Berikut adalah beberapa tips bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan:

 1. Orang ramai dinasihatkan agar tidak melayan sebarang panggilan dari nombor yang tidak dikenali;

 2. Segala pembayaran bil utiliti hendaklah dibuat secara terus kepada penyedia perkhidmatan yang sah;

 3. Gunakan portal SemakMule (https://semakmule.rmp.gov.my) untuk membuat semakan kesahihan nombor telefon dan nombor akaun bank yang diragui;

 4. Hubungi CCID Scam Response Centre melalui talian 03-26101559/1599 sekiranya mempunyai sebarang keraguan mahupun maklumat berkenaan aktiviti jenayah komersil.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button