Berita Utama

24 kontena buangan kertas dari AS, Kanada diarah hantar pulang

Kerjasama semua pihak perlu elak Malaysia jadi tong sampah dunia

BUTTERWORTH, 14 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang, mengarahkan 24 buah kontena membawa buangan kertas dari Amerika Syarikat dan Kanada yang cuba dilupuskan di negara ini, dihantar pulang ke negara asal masing-masing dalam pemeriksaan di Pangkalan Kontena Butterworth Utara (NBCT) di sini semalam.

Pengarah JAS Pulau Pinang, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, pemeriksaan pihaknya ke atas kontena-kontena tersebut mendapati, ia mengandungi buangan kertas tanpa mendapat surat kelulusan terlebih dahulu daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling Malaysia.

“Siasatan kami mendapati, 19 unit kontena dari Kanada dan lima unit dari Amerika Syarikat yang cuba dilupuskan di negara ini, pengimportnya tidak mempunyai fasiliti penerima yang memiliki lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), serta tiada lesen pengilang daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Kegagalan pengimport mendapatkan kelulusan di premis penerima, boleh membawa implikasi negatif seperti kemungkinan berlaku pelupusan dan pemprosesan sisa secara haram, pembakaran terbuka serta pelbagai masalah lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, proses kitar semula di premis haram juga boleh menyebabkan isu pencemaran serius, memandangkan operasi kitar semula kertas terpakai memerlukan kuantiti air yang banyak sehingga 45 meter padu air, bagi setiap satu tan metrik kertas.

Sharifah Zakiah berkata, operasi kitar semula itu juga akan menghasilkan air sisa atau efluen yang banyak, serta boleh mencemarkan parit dan sungai jika tidak dirawat terlebih dahulu.

“Mengikut perundangan, efluen perindustrian perlu dirawat terlebih dahulu, sehingga mematuhi had piawaian mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009, sebelum dilepaskan,” katanya.

Katanya, selain pegawai JAS Pulau Pinang, operasi pemeriksaan di NBCT itu turut disertai pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia, wakil operator pelabuhan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) dan wakil-wakil agensi perkapalan.

Beliau berkata, ketika ini terdapat peningkatan ketara kemasukan buangan sisa pepejal termasuk buangan kertas ke negara ini, sejak China mengumumkan larangan mutlak ke atas semua jenis buangan sisa pepejal masuk ke negara berkenaan, bermula 1 Januari lepas.

“China menguatkuasakan larangan ke atas buangan plastik bermula 1 Januari 2017, diikuti dengan larangan 24 jenis buangan sisa pepejal lain pada 27 Julai tahun sama, dan keadaan itu telah menyebabkan pemain-pemain industri yang kebiasaannya mengimport buangan ke negara China, berpindah operasi ke negara-negara Asia Tenggara termasuk Malaysia,” katanya.

Menurutnya, masalah pengimportan itu perlu ditangani dengan serius, kerana bahan buangan yang diimport melalui NBCT mungkin dibawa ke negeri-negeri lain, bagi tujuan pemprosesan atau pelupusan secara haram.

“Sehubungan itu, kerjasama semua pihak diperlukan bagi mengelakkan Malaysia daripada menjadi tong sampah dunia,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button