Berita Utama

5,527 kes Macau Scam direkod dalam dua tahun

Individu 51 tahun ke atas cenderung jadi mangsa penipuan

BANGI, 14 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Sejumlah 5,527 kes penipuan Macau Scam direkodkan sepanjang tahun 2019 hingga 2021 setakat Januari hingga Jun, membabitkan kerugian berjumlah RM327,910,835.

Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan, sejumlah 2,466 kes dicatatkan pada 2019 dengan kerugian RM12,8555,100, diikuti 2,247 kes pada 2020 (RM172,710,823) dan 814 kes sepanjang Januari hingga Jun 2021 dengan nilai kerugian RM33,344,911.

Pengarah JSJK, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, statistik menunjukkan daripada 5,535 oran mangsa terlibat sepanjang tahun 2019 hingga Jun 2021, individu dalam lingkungan 51 tahun ke atas mencatatkan jumlah tertinggi iaitu seramai 1,621 orang iaitu 29.3 peratus.

Sementara, 17.8 peratus lagi mangsa adalah dalam lingkungan umur 41 tahun hingga 50 tahun, 31 hingga 40 tahun (25.3 peratus), 21 hingga 30 tahun (26.2 peratus) dan bawah 20 tahun (1.5 peratus), katanya.

“Berpandukan kepada analisis yang dijalankan, pihak polis percaya golongan yang berusia 51 tahun dan ke atas cenderung untuk menjadi mangsa penipuan kerana kurangnya pendedahan terhadap informasi serta perkembangan semasa kes-kes penipuan yang berlaku.

“Ditambah dengan kedudukan ekonomi golongan ini yang lazimnya telah mempunyai aliran kewangan yang stabil, mempunyai wang simpanan untuk hari tua mahupun wang persaraan, peratusan untuk mereka menjadi mangsa penipuan adalah lebih tinggi” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, lebih menyedihkan apabila wang yang sepatutnya menjadi kegunaan dalam menempuh hari persaraan hilang akibat menjadi mangsa penipuan.

Sehubungan itu, polis melihat perlunya komunikasi di kalangan ahli keluarga dalam usaha menyalurkan maklumat serta perkembangan modus operandi penipuan sebegini.

“Ahli keluarga khususnya anak-anak hari ini yang mempunyai pendedahan langsung dengan maklumat di media sosial adalah disarankan untuk memaklumkan pengetahuan yang diperolehi kepada ibu bapa agar mereka turut cakna dengan situasi semasa.

“Adalah diharapkan, melalui peranan yang dimainkan setiap daripada kita, kes-kes jenayah penipuan khususnya Macau Scam dapat dicegah dan dihapuskan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button