Berita Utama

Doktor kontrak: I-Medik minta kerajaan pertimbang polisi lantikan tetap

Prosedur lantikan perlu diperhalusi, 'transparent' kepada semua pihak terbabit

BANGI, 14 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) menyambut baik keputusan Kabinet berhubung lantikan pegawai kontrak perubatan, pergigian, farmasi berdasarkan situasi semasa yang mencabar ketika ini.

Langkah penyelesaian ini bukan sahaja boleh memberikan sedikit kelegaan kepada para pegawai yang terlibat, bahkan dilihat sebagai situasi ‘menang-menang’ kepada semua pihak yang terbabit.

Bagaimanapun, Presiden I-Medik, Prof Dr Azizi Ayob masih berharap pihak kerajaan dapat mempertimbang polisi lantikan tetap untuk sebahagian pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi yang menamatkan tempoh khidmat wajib.

Beliau turut mengesyorkan, prosedur lantikan kontrak ke jawatan tetap diperhalusi dan ‘transparent’ kepada semua pihak terlibat serta perlu diperbaiki dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

“Pihak kerajaan juga perlu mengadakan bimbingan kerjaya dan menerangkan tentang pilihan alternatif sewaktu awal lantikan latihan siswazah supaya pegawai lantikan kontrak terbabit membuat persiapan lebih awal sebelum tempoh lantikan kontrak tamat.

“I-Medik juga ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah pimpinan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, yang telah memanjangkan isu ini ke Jemaah Kabinet dan kesudian YAB Perdana Menteri memberi kelulusan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Kabinet bersetuju supaya pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak ditawarkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh dua tahun selepas melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan persediaan untuk mengikuti pengajian kepakaran.

Selain itu, Kabinet juga bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.

Bagi memastikan laluan kerjaya yang setara dan adil, Kabinet juga bersetuju agar pelantikan secara kontrak diuruskan mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan ditawarkan Cuti Belajar Bergaji Penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan Cuti Belajar Bergaji Penuh dan Hadiah Latihan Persekutuan.

Antara persetujuan lain yang turut dicapai ialah menambah baik kemudahan atau faedah yang ditawarkan kepada pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak seperti Cuti Tugas Khas Perubatan, Cuti Tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button