Berita Utama

Sindiket lombong Bitcoin guna elektrik curi tumpas

4 suspek berusia 31 hingga 45 tahun ditahan

BANGI, 7 Rejab 1442H, Jumaat – Enam premis kedai di Bandar Sri Permaisuri, Cheras yang dijadikan pusat melombong wang kripto Bitcoin menggunakan elektrik curi, diserbu polis kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Saiful Azly Kamaruddin berkata, premis berkenaan diserbu sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur kira-kira jam 12 tengah hari.

Menerusi dua serbuan berasingan itu, polis turut menahan empat suspek terdiri daripada dua lelaki warga asing dan dua lelaki tempatan. Semua yang ditahan berusia 31 hingga 45 tahun.

Dua suspek iaitu lelaki warga India dan Myanmar ditahan dalam serbuan pertama di sebuah premis kedai di Bandar Sri Permaisuri.

“Hasil soal siasat ke atas mereka membawa kepada serbuan kedua ke atas lima lagi premis perniagaan di kawasan berhampiran dan berjaya menahan dua lelaki tempatan yang juga pengusaha perlombongan Bitcoin.

“Ketika serbuan dilakukan, dua suspek dilihat sedang cuba mengeluarkan beberapa peralatan daripada sebuah premis yang diserbu,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Serbuan dilakukan bersama petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) selepas syarikat itu mengalami kerugian RM3 juta akibat kegiatan curi elektrik daripada perlombongan Bitcoin sejak dua tahun lalu.

Saiful berkata, dengan tangkapan itu, pihaknya berjaya menumpaskan sindiket mencuri elektrik bagi kegiatan Bitcoin di ibu negara.

“Kes disiasat mengikut Seksyen379/427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button