Dunia

‘Takut’ punca ramai penduduk di Gaza masih tak vaksin

Kurang lima peratus dari 2 juta penduduk terima suntikan

GAZA, 14 Zulhijjah 1442H, Sabtu – Walaupun sudah lebih lima bulan kumpulan pertama vaksin COVID-19 tiba di Semenanjung Gaza, pemberian imunisasi masih bergerak perlahan susulan masih ramai tidak percaya dan menolak vaksin. 

Menurut data Kementerian Kesihatan Gaza, sekitar 98,000 – atau hanya kurang lima peratus daripada dua juta penduduk – setakat ini telah menerima suntikan. 

Sehingga kini, pihak berkuasa di Semenanjung Gaza mengesahkan lebih 115,000 kes jangkitan dan 1,089 kematian akibat COVID-19. 

Daripada jumlah itu, terdapat 43 pesakit kini dirawat di hospital dan 34 lagi berada di unit rawatan rapi (ICU). 

Anak kepada pesakit yang dirawat di hospital, Sana Hind berkata, seluruh keluarga mereka takut untuk menerima vaksin. 

“Kami rasa ia lebih berbahaya daripada yang baik. Saya dijangkiti COVID-19 tetapi tidak mahu diberikan vaksin selepas ini.

“Kementerian kesihatan mengatakan ia bermanfaat tetapi orang lain kata tidak. Terkena jangkitan coronavirus adalah perkara yang tidak dapat dielakkan,” kata Sana. 

Jurucakap Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) di Semenanjung Gaza, Suhair Zakkout berkata, sektor kesihatan telah lama menghadapi masalah sistematik, termasuk kekurangan ubat-ubatan dan krisis bahan bakar serta tenaga. 

Katanya, keadaan itu mempengaruhi kualiti penjagaan kesihatan sedia ada untuk populasi di wilayah terkepung berkenaan. 

Sepanjang wabak, ICRC telah menyokong pihak berkuasa dan Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dengan peralatan perubatan, alatan perlindungan diri serta pelitup muka. 

Malah, sebanyak 336,300 dos vaksin juga telah disumbangkan dari pelbagai negara termasuk Russia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) selain melalui program kemudahan COVAX.

Bagaimanapun, keengganan penduduk untuk menerima vaksin, telah menimbulkan kebimbangan dan mendorong ICRC – bersama kementerian kesihatan – untuk melancarkan kempen bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kesan positif imunisasi itu. 

“Kempen akan dilancarkan di semua platform seperti radio, papan iklan, video dan media sosial. 

“Ia akan mengandungi maklumat perubatan, nasihat kesihatan, hadis dan ayat al-Quran yang boleh mendorong dan meyakinkan penduduk di Gaza bahawa vaksin itu selamat diambil serta membantu memerangi penyebaran COVID-19,” kata Zakkout.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button