Berita Utama

Hormati kebebasan bersuara, benarkan Hartal Doktor Kontrak esok

Tetapi kerajaan perlu segera berunding cari jalan selesaikan isu

BANGI, 15 Zulhijjah 1442H, Ahad – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta membenarkan Hartal Doktor Kontrak diteruskan esok, meskipun mengakui tindakan itu akan memberi kesan kepada kelancaran sistem perkhidmatan kesihatan negara.

Beliau berkata, langkah itu sebagai menghormati kebebasan bersuara kumpulan doktor perubatan yang konsisten menuntut isu pengambilan tetap, gaji, peluang program kepakaran serta manfaat lain.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled meminta supaya pihak kerajaan dan kumpulan doktor kontrak untuk segera kembali ke meja rundingan bagi mencari jalan tengah terhadap isu itu.

“Kerajaan wajar menunjukkan empati yang mendalam terhadap desakan para pegawai perubatan muda ini.

“Tuntutan mereka dalam isu seperti gaji, pengambilan tetap, elaun, peluang melakukan program kepakaran serta manfaat-manfaat lain adalah perkara yang dituntut dengan jelas, konsisten dan rasional,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata tawaran yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini juga wajar diberi ruang untuk dibincang serta dipertimbangkan.

“Jika ia tidak memadai, maka ia harus menjadi asas untuk rundingan seterusnya. Pastinya tidak semua permintaan dapat dipenuhi dan tidak semua tawaran kerajaan harus ditolak sebegitu sahaja.

“Negara sedang berhadapan dengan darurat kesihatan yang teruk. Masalah ini tidak boleh dibenarkan berlarutan,” katanya.

Justeru, Mohamed Khaled menggesa kerajaan untuk tampil dengan pelan penyelesaian komprehensif, mengambil kira kemaslahatan jangka panjang dan keperluan keseluruhan sistem kesihatan negara.

“Doktor dan pengamal perubatan adalah pejuang barisan hadapan negara. Mereka harus dilayan dan dihargai dengan sewajarnya dan seadilnya.

“Namun, yang lebih utama ialah kepentingan nasional. Mengimbangi kesemua ini, kita serahkan kepada kebijaksanaan kerajaan dan kumpulan doktor muda ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button