Berita Utama

MBJB henti penggunaan aset bagi kegunaan bermotif politik

Bantuan bakul makanan adalah rentas sempadan politik, agama

BANGI, 15 Zulhijjah 1442H, Ahad – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menghentikan serta-merta segala penggunaan aset miliknya bagi kegunaan yang bermotifkan politik.

Ini kerana, pihaknya mengambil maklum berkaitan aduan yang disampaikan orang ramai berkaitan penggunaan aset milik MBJB dalam aktiviti berkaitan politik.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBJB dalam satu kenyataan berkata, pihaknya tidak pernah membenarkan mana-mana pihak untuk menggunakan aset milik majlis dalam sebarang kegiatan berkaitan politik.

Katanya, ini termasuk menggunakan lambang parti politik pada aset MBJB atau lain-lain perkara berkaitan agenda atau kepentingan politik yang secara jelas bertentangan dengan dasar ditetapkan.

“Untuk makluman warga bandar raya, bantuan bakul makanan serta lain-lain bantuan yang disalurkan melalui barisan Ahli Majlis MBJB sebelum ini adalah merentasi sempadan pegangan politik, agama dan bangsa warga bandar raya,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial beberapa gambar memaparkan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar menggunakan lori milik MBJB untuk menyampaikan bantuan barangan keperluan kepada golongan memerlukan dengan turut menunjukkan bendera Barisan Nasional (BN).

Yahya dilaporkan mengakui kesalahannya dan memberitahu sebab menggunakan lori berkenaan adalah kerana jumlah barangan yang disumbangkan adalah besar serta di luar kapasiti pasukannya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button