Berita Utama

Rayuan BKM mulai 2 Mei

Pemohon boleh kemukakan rayuan beserta dokumen berkaitan

BANGI, 28 Ramadan 1443H, Sabtu – Tempoh rayuan bagi permohonan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) akan dibuka selama sebulan bermula Isnin ini.

Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, ia bertujuan bagi membantu individu yang tidak lulus dalam permohonan BKM sebelum ini.

Katanya, pemohon boleh mengemukakan rayuan beserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

“Proses rayuan ini juga bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan. Permohonan rayuan boleh dibuat melalui kaedah secara dalam talian bermula 2 Mei ini melalui portal rasmi BKM LHDNM di https://bkm.hasil.gov.my.

“Pemohon juga boleh mengemukakan borang rayuan secara manual bermula 9 Mei di mana-mana cawangan Pejabat Satelit, Pusat Khidmat Hasil (PKH), ataupun Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM yang berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, setelah pangkalan data BKM dikemaskini, pembayaran rayuan BKM kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada bayaran Fasa Tiga dan Fasa Empat yang dijadualkan pada September 2022 dan Disember 2022.

“Pemohon rayuan BKM boleh merujuk soalan lazim (FAQ) yang telah dimuat naik di portal rasmi BKM bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Katanya lagi, kerajaan kekal komited untuk memastikan bantuan yang diperuntukkan itu sampai kepada mereka yang disasarkan bagi menjamin kesejahteraan Keluarga Malaysia keseluruhannya.

Beliau turut memaklumkan, kerajaan juga telah mengemaskini data golongan B40 yang layak menerima BKM dan setakat ini hampir RM2.0 billion bantuan Fasa Satu telah disalurkan kepada hampir 9.0 juta penerima B40 seluruh negara pada bulan Mac yang lalu.

“Manakala bayaran Fasa Dua sebanyak RM1.1 bilion pula akan dibuat pada bulan Jun ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button