Berita Utama

Tak lagi percaya politikus, Malaysia perlu ubah corak pemerintahan?

Orang politik dilihat hanya mahu mempertahan, merebut kuasa

BANGI, 15 Zulhijjah 1442H, Ahad – Negara memerlukan perubahan dalam sistem pemerintahan dengan memberi makna sebenar kepada kerangka asas Perlembagaan.

Ini susulan timbul idea seperti kerajaan teknokrat, Mageran dan juga piagam rakyat yang dianggap manifestasi kepada perasaan rakyat yang sudah hilang kepercayaan kepada politikus dalam negara.

Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, sudah ramai hilang kepercayaan kepada ahli politik yang dilihat hanya mahu mempertahankan atau pun merebut kuasa.

Lebih mendukacitakan katanya, kesejahteraan negara dan kebajikan rakyat tidak diutamakan bahkan kekurangan majoriti jelas parti politik di Dewan Rakyat di kedua-dua belah pihak menghakis keupayaan kerajaan dalam mentadbir negara dengan baik.

“Justeru, timbul persoalan sama ada sistem dan corak pemerintahan dan politik di Malaysia ini tidak sesuai diadun di tanah air.

“Ini kerana ia memang mengikut acuan British yang mentadbir negara ratusan tahun,” katanya menulis di Sinar Harian hari ini.

Sehubungan itu, Zainul Rijal menyuarakan pandangan bahawa Malaysia memerlukan perubahan dalam sistem pemerintahannya.

Jelasnya, selagi mana ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, perubahan corak pemerintahan boleh dilakukan dengan terus memberi makna sebenar kepada kerangka asas Perlembagaan itu sendiri.

Dari sudut undang-undang pula, beliau menjelaskan, corak pemerintahan baharu boleh dilakukan dengan meneliti semula peruntukan yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan dan memberi tafsiran tepat mengenainya di samping memperkukuh struktur asas Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

“Apa yang saya ingin zahirkan ialah Malaysia perlukan perubahan dalam sistem pemerintahannya.

“Kita akur Yang di-Pertuan Agong adalah eksekutif sebenar bagi Persekutuan, jemaah menteri hanya menjalankan fungsi eksekutif Seri Paduka menurut Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

“Hakikat ini perlu dipertegas dan diberikan makna yang sebenar,” tegasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button