Berita Utama

Tubuh suruhanjaya bebas ‘post mortem’ SOP COVID-19

Dengar aduan rakyat, isu vaksinasi perlu dibaik pulih

BANGI, 15 Zulhijjah 1442H, Ahad – Satu suruhanjaya bebas wajar ditubuhkan bagi membuat post mortem untuk menambah baik prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sedia ada.

Mengesyorkan cadangan itu, Presiden Persatuan Kebajikan Darul Islah (Perkid), Ustaz Masridzi Sat berkata, pada masa sama suruhanjaya itu diharap dapat memperbaiki isu vaksinasi serta penggunaan ubat-ubatan alternatif yang lebih baik, berkesan, halal dan selamat.

“Berdasarkan aduan daripada rakyat, kaedah menangani wabak COVID-19 dan vaksinasi perlu dibuat ‘post mortem’ dan baik pulih,” katanya menerusi catatan di akaun Facebook beliau.

Ustaz Masridzi menyuarakan saranan itu susulan kajian yang sedang dijalankan Amerika Syarikat (AS) mengenai keperluan dos tambahan vaksin COVID-19 dalam kalangan penduduk yang telah menerima dua dos lengkap.

Terdahulu, Timbalan Pengarah Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, Jay Butler memaklumkan, lebih banyak data diperlukan untuk mengetahui sama ada dos tambahan boleh meningkatkan risiko kesan sampingan.

Katanya, dos kedua vaksin COVID-19 telah dikaitkan dengan kadar kesan sampingan lebih tinggi.

Ini menunjukkan, dos ketiga juga berpotensi membawa risiko kesan sampingan lebih besar.

Menurut laporan, Pfizer-BioNTech merancang meminta Pentadbiran Makanan Dan Ubat-ubatan (FDA) meluluskan penggunaan dos ketiga berdasarkan bukti peningkatan jangkitan enam bulan selepas diinokulasi dan penularan varian Delta.

Butler menyatakan, dia belum melihat bukti penurunan imuniti terhadap COVID-19 di kalangan penduduk AS yang mendapat suntikan pada bulan Disember atau Januari.

Katanya, dua dos sedia ada memberikan perlindungan yang signifikan terhadap varian Delta yang pertama kali dikesan di India dan kini jadi dominan di Amerika.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button