Kolumnis

Taasub kepada kebenaran, bukan manusia

Ingat! Kamu akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang dibuat

JANGAN berselindung di sebalik misi bantuan kemanusiaan untuk kepentingan diri. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah jua nanti. Percayalah.

Saya mengikuti secara dekat kontroversi beberapa isu terkini dan sebelumnya. Banyak juga yang saya tahu daripada sumber yang boleh dipercayai sebelum ini, termasuk pihak berkuasa, cuma mengambil pendekatan berdiam diri itu lebih baik.

Namun, mutakhir ini, menjadi terpanggil untuk bercakap sedikit, apabila melihat watak manusia yang mula meragukan. Lebih-lebih lagi ramai sahabat saya, termasuk Firdaus Wong, memberikan bukti-bukti yang sukar untuk saya tolak, selain daripada pemerhatian sendiri.

Harapan saya adalah biarlah setiap pendakwah, termasuk pemimpin (parti) politik, yang melakukan apa juga kerja-kerja kebajikan, benar-benar membawa imej Islam ini, ikhlas dalam perjuangan. Bukannya berpura-pura, penuh hipokrit, kerana yang akan menerima padahnya nanti, selain diri sendiri, lebih besar lagi adalah agama suci kita.

Ingat! Kamu akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kamu buat. Jika tidak di dunia, di akhirat sudah pasti. Namun, saya percaya, di dunia pun kita akan dapat lihat akan kebenarannya, kerana ada pepatah berkata, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya ke tanah juga.

Apa iktibar yang kita pelajari daripada semua yang berlaku ini?

Pertama, jangan taksub kepada manusia atau individu (parti) tertentu, tetapi kepada kebenaran, tidak kira siapa. Neraca kita adalah apa yang benar, apa yang salah, bukan siapa atau siapa yang benar, siapa yang salah.

Jangan kerana terlalu suka kepada seseorang, sehingga tidak nampak, antara hak dan batil. Kita ada akal yang Allah kurniakan, nilaikan dengan mata hati. Seperti mana artikel yang saya sebelum, berjubah, berkopiah, bersongkok, tidak semestinya tidak rasuah, salah laku dan salah guna kuasa.

Saya cukup bimbang dengan trend yang berlaku hari ini, pantang dikritik dan disentuh sedikit figura-figura tertentu, maka akan ‘diserang’ oleh pentaksub-pentaksub ini. Ini bukan cara kita. Nilai dahulu, apa yang benar, apa yang salah. Jangan tengok siapa dahulu.

Taksub sehingga tidak dapat membezakan mana benar, mana salah, adalah sangat bahaya.
Mempertahankan sesuatu tanpa menoleh lagi. Al-Quran memberi peringatan terhadap mereka yang terlampau taksub kepada orang tertentu yang menjurus kepada kebatilan dan kesesatan (al-Ahzab:67)

Taksub atau fanatik ini juga merentas setiap anutan agama bukan sahaja di dalam Islam. Setiap agama ada golongan yang taksub. Dalam kata lain, taksub juga boleh menyebabkan huru-hara dalam masyarakat.

Mereka yang taksub boleh bertindak ganas bagi mempertahankan anutan dan apa yang mereka bawa walau salah. Ingatan sekali lagi, taksub kepada kebenaran, bukan orang.

Kedua, dalam kerja-kerja dakwah atau kebajikan ini, elakkan penonjolan atau publisiti diri secara berlebihan, sehingga ‘over’. Pastikan tangan kanan yang memberi, seolah-olah tangan kiri tidak tahu.

Penonjolan berlebihan inilah juga menyumbang kepada taksub dan riyak. Berpada-pada. Bukan semua perkara perlu dicerita, sehingga hal-hal peribadi, suami isteri dan anak pinak pun nak ditunjukkan juga. Kena ada rasa malu sikit.

Kami, orang-orang lama, juga ‘popular’ hingga kini, bagi ceramah motivasi sana sini, masuk keluar tv, lakukan kerja-kerja amal sehingga kini, tetapi tidaklah se’over’ ini. Tidak juga kami jadi kaya dengan kerjaya ini. Tetapi, Alhamdulilah, kini ada orang jadi kaya. Semoga Allah memberkati.

Ketiga, dalam dakwah dan kebajikan, elakkan gunakan perkataan ‘saya’ terlalu kerap. Saya akan bantu, saya punya duit, semuanya, saya, saya, saya…tetapi gunakan bahasa yang lebih lunak, kita atau kami.

Apabila menggunakan perkataan saya atau aku, seolah-olah semua itu datang daripada diri sendiri. Sedangkan, kebenarannya, tidak sedemikian.

Orang akan menilai, terlalu kayakah kamu? Bisnes tidaklah sehebat mana? Tidak pula selaku mana? Mana datangnya duit, kalau bukan daripada sumbangan luar atau orang ramai. Lebih-lebih lagi musim wabak ini.

Semua bisnes terjejas. Duit datang dari mana? Takkan duit datang dari langit. Kalau duit itu datang daripada derma orang, maka elakkan guna perkataan saya. Kena elakkan lembu punya susu, sapi punya nama.

Keempat, setakat yang saya tahu, mana-mana kerja kebajikan, boleh dikatakan rata-rata sumber kewangan datang daripada sumbangan orang ramai, sama ada syarikat atau individu, melalui NGO yang ditubuhkan.

Jadi, sumbangan atau derma itu adalah amanah. Tidak boleh dibelanjakan sesuka hati. Perlu dijaga dengan baik dan profesional. Tidak boleh semberono. Semua akaun ini perlu diauditkan, supaya tidak berlaku salah laku dan salah guna kuasa. Orang ramai atau penderma berhak tahu ke mana wangnya dibelanjakan.

Tanggungjawab mengurus NGO dan melakukan kebajikan, bukan setakat mengirim gambar dan meraih sokongan awam tetapi ia amanah yang akan ditanya di hadapan Allah kelak. Pengurusan keluar masuk sumbangan mesti direkodkan dengan rapi dan diaudit.

Kelima, figura-figura yang terlibat dalam kerja-kerja kebajikan ini, sedaya upaya hendaklah elakkan diri daripada skandal, terutama skandal berkaitan tiga “TA” Wanita, harta dan takhta. Berdasarkan kepada bukti-bukti yang ditunjukkan, bukan sahaja memeranjatkan malahan amat menakutkan kerana ia menjijikkan. Saya cukup berharap semua itu tidak benar?

Saya amat berharap, individu atau NGO yang melakukan kerja-kerja amal ataupun kemasyarakatan perlu melakukannya bukan untuk kepentingan peribadi. Janganlah berlaku dimulut, kalimah Allah tidak lekang, tetapi lain ceritanya di belakang. Kita takut menimbulkan fitnah kepada agama.

Iktibar daripada semua kontroversi ini, elok rasanya sebuah badan bebas atau pihak berkuasa perlu dimasuk untuk memantau mana-mana figura atau ahli politik yang menubuhkan NGO untuk tujuan amal.

Ini amat perlu bagi mengelakkan persepsi bahawa ia bergerak atas kepentingan peribadi dan peruntukan yang tidak sampai kepada kumpulan sasar. Lebih-lebih lagi apabila kita membawa imej agama, dibibir tidak pernah putus menyebut kalimah Allah. Perkara yang paling saya takut, menjadi fitnah kepada agama suci ini, disebabkan oleh tangan-tangan kita.

Justeru, dengan adanya pemerhati ini, dapat menyelamatkan mereka yang diperangkap dan teraniaya. Biasalah, kadang-kadang orang yang kena tangkap ada yang kena perangkap. Begitu juga sebaliknya. Ada juga yang teraniaya, tiada siapa yang membelanya.

Kepada kita semua, ingat pesan orang tua, ingat pertolongan orang kita, lupakan pertolongan kita pada orang. Ingat salah kita pada orang, lupakan salah orang pada kita. Ikhlaslah dalam perjuangan.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button