Berita Utama

Kerajaan tidak nasihat Agong lanjut darurat: Takiyuddin

Kerajaan putus untuk batal ordinan yang dibuat semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa

KUALA LUMPUR, 16 Zulhijjah 1442H, Isnin – Kerajaan memutuskan tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan pelanjutan darurat, yang dijadual tamat pada 1 Ogos ini, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata kerajaan juga memutuskan untuk membatalkan ordinan-ordinan yang dibuat semasa Proklamasi Darurat berkuat kuasa.

“Saya ingin sahkan hari ini, dan saya tertakluk (pada peraturan) kalau saya bercakap tidak benar, bahawa kerajaan Persekutuaan memutuskan untuk tidak akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat yang baharu apabila (ia) tamat pada 1 Ogos nanti.

“Kerajaan juga telah buat keputusan berdasarkan Perkara 150 (3) Perlembangaan Persekutuan untuk membatalkan ordinan-ordinan darurat yang telah dibuat semasa proklamasi darurat, maka isu ungkai atau annulment tidak lagi relevan… enam ordinan direvoke (batal) berkuat kuasa 21 Julai 2021,” katanya tanpa menyatakan enam ordinan terlibat.

Beliau berkata demikian menjawab persoalan yang dibangkitkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai hala tuju mesyuarat khas Dewan Rakyat yang berlangsung hari ini. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button