Dunia

Israel agresif gempur Tebing Barat, tangkap rakyat Palestin

66 ditahan, tiga pemuda terbunuh akibat ditembak dan dibom

TEBING BARAT, 17 Rabiulakhir 1445H, Rabu – Tentera pengganas Israel semakin agresif menggempur Tebing Barat dan Baitulmaqdis yang diduduki, dengan melaksanakan kempen penangkapan besar-besaran rakyat Palestin di wilayah itu.

Setakat hari ini, pasukan penjajah menahan 66 rakyat Palestin dalam serbuan ke atas rumah mereka di seluruh Tebing Barat, menurut sumber.

Di kawasan Baitulmaqdis, tentera pengganas Israel mengepung 25 rakyat Palestin dari pelbagai kawasan.

Sementara di daerah Bethlehem, askar Israel menahan 14 lagi penduduk Palestin.

Selain itu, 11 lagi ditahan dari daerah Jenin, lima di Hebron, tiga dari Qalqilya, empat dari daerah Ramallah, dua dari Tulkarm dan seorang di Nablus.

Tiga rakyat Palestin turut dilaporkan dibunuh ketika serangan Israel ke atas bandar dan kem pelarian di Jenin.

Pengarah Hospital al-Razi di Jenin, Fawaz Hammad berkata, seorang disahkan meninggal dunia iaitu Yanal Hamran dari perkampungan Hashiminya, akibat kecederaan parah di kepala selepas ditembak tentera penjajah.

Hospital Ibn Sina turut memaklumkan dua pemuda Palestin, Wiam Al-Hariri dan Mohammad Younis Jarrar turut dibunuh selepas dibom oleh dron dengan dua peluru berpandu di kawasan Jourat Al-Dhahab di dalam kem Jenin.

Serangan dron Israel di kawasan itu turut mencederakan tiga yang lain.

Pasukan tentera penjajah membawa jentolak dan menyerbu bandar dari beberapa arah dari jalan Jenin-Nazareth, Jenin-Nablus dan Jalan Haifa ke sekitar kem Jenin, sehingga menyebabkan tercetusnya konfrontasi.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button