Berita Utama

MIC rakus bercakap pasal kerusi ketika COVID-19 menekan rakyat

Usah beri undi kepada pemimpin tamak seperti ini pada PRU15: BERJASA

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 16 Zulhijjah 1442H, Isnin – Tatkala rakyat semakin tertekan dengan lonjakan kes COVID-19, MIC masih sempat mengutarakan mengenai keinginan memiliki kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Semalam, Naib Presiden MIC, Datuk C. Sivarrajh mendakwa pihaknya yakin kepimpinan Barisan Nasional (BN) akan memberikan parti itu peluang untuk bertanding di sembilan kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN pada PRU15.

Malah, Sivarrajh turut yakin MIC berpeluang diberikan beberapa lagi kerusi tambahan yang didakwanya berpotensi menang berdasarkan tahap sokongan dan demografi penduduk di kawasan terbabit.

Kesal dengan kenyataan itu, Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ustaz Zamani Ibrahim berkata, MIC sepatutnya menjiwai keresahan dan kerisauan rakyat ketika ini.

Namun malang sekali, dakwanya, dalam suasana tertekan ini, Naib Presiden MIC masih bersikap tamak dan rakus.

“Apakah memang MIC adalah sebuah parti yang rakus dan tidak peduli nasib serta kesusahan rakyat? BERJASA berpandangan MIC mesti mempunyai minda dan hati yang cerah. 

“Bercakap soal kerusi sedangkan rakyat sangat tertekan, ini adalah perangai pimpinan parti tersebut yang tamak dan rakus. 

“Kalau pun tidak mampu membantu rakyat yang pelbagai kaum, bantu kaum India pun sudah cukup,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sehubungan itu, Ustaz Zamani menegaskan, pihaknya menyeru rakyat supaya tidak memberikan undi kepada pemimpin tamak dan rakus sedemikian pada PRU15 akan datang.

“Mereka hanya memikirkan kepentingan kerusi parti berbanding nasib rakyat. Kawasan yang majoriti Melayu hendaklah dicalonkan calon muslim berwibawa,” tegasnya.

Beliau berkata, MIC perlu mencari kawasan yang majoritinya kaum India sekiranya ingin bertanding pada PRU15 nanti. 

“Jika sekiranya tiada satu kawasan pun yang majoriti kaum India, maka cukuplah pemimpin MIC membantu sahaja calon daripada komponen parti lain dan selepas itu berbincanglah supaya presiden parti tersebut dilantik sebagai senator,” katanya lagi.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button