Berita UtamaIstimewa

MP perlu kawal ‘ghairah’, elak Dewan Rakyat jadi pasar ikan

Masa fokus isu penting berkait rakyat, ekonomi dan negara: BERJASA

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 16 Zulhijjah 1442H, Isnin – Biarpun menjadi persidangan Dewan Rakyat paling singkat, Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) menggesa semua Ahli Parlimen supaya memanfaatkan tempoh itu untuk mengutamakan isu-isu penting berkaitan rakyat, ekonomi dan situasi semasa negara.

Presidennya, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berkata, tempoh persidangan yang berlangsung selama lima hari bermula Isnin, perlu memfokuskan kepada tiga perkara utama iaitu kesejahteraan negara, kestabilan ekonomi serta keselamatan awam.

Atas sebab itu, beliau mengharapkan semua Ahli Parlimen di pihak kerajaan dan pembangkang kekal fokus dengan matlamat utama persidangan serta perbahasan, tanpa membawa sebarang agenda politik lain.

“Situasi negara ketika pandemik ini, semua Ahli Parlimen hendaklah merasai kerisauan rakyat dan sebenarnya rakyat sudah cukup tertekan sekarang ini.

“Pendekatan keserasian dan keharmonian kerajaan serta pembangkang sepanjang persidangan ini pastinya memberikan rakyat kelegaan sedikit,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, beliau mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya mengawal ‘keghairahan’ mereka ketika kembali bersidang di Dewan Rakyat sepanjang hari ini sehingga 2 Ogos nanti.

“Suasana seperti ‘pasar ikan’ mesti dielakkan. Watak negarawan dalam perbahasan akan mampu menyerlahkan kewibawaan MP itu sendiri,” katanya.

Sidang Khas Dewan Rakyat yang bermula hari ini menyaksikan pembentangan beberapa menteri, termasuk daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkaitan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Pembentangan hari ini turut membabitkan Menteri Kesihatan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Menteri Kewangan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button