Berita Utama

Ordinan Darurat tetap perlu dibentang di Parlimen

Kerajaan batalkan dulu supaya tak perlu dibahas dan diundi?

BANGI, 16 Zulhijjah 1442H, Isnin – Meskipun Ordinan Darurat yang dibuat ketika Proklamasi Darurat telah dibatalkan, kerajaan masih perlu membentang dan mengundinya untuk kelulusan secara retrospektif.

Tindakan itu penting bagi akauntabiliti dan semak imbang mengenai keberkesanan dan ketelusan pelaksanaan ordinan ini sepanjang tempoh darurat yang lalu.

Selain itu, Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata, ia juga penting bagi memastikan jika terdapat elemen salah guna kuasa semasa tempoh darurat tidak terlepas begitu sahaja.

“Kerajaan perlu bertanggungjawab,” katanya.

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk tidak akan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyambung Proklamasi Darurat sebaik sahaja tamat pada 1 Ogos ini.

Perkara itu dimaklumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hasan di mana perkara itu telah diputuskan pada 21 Julai lalu.

Terkejut dengan pengumuman itu, Isham berkata, selama lima hari dari tarikh tersebut rakyat sama sekali tidak mengetahuinya dan penguatkuasaan ordinan selama lima hari lalu tidak sah.

Beliau percaya kerajaan membatalkan Ordinan Darurat kerana tahu tidak akan dapat melanjutkan lagi darurat berikutan YDPA dan rata-rata rakyat serta banyak pihak tidak setuju.

“Dan juga kerana mereka (kerajaan) takut untuk bahas dan undi untuk meluluskan Ordinan Darurat ini di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perlembagaan.

“Sebab jika mereka bahas dan undi usul ini, besar kemungkinan mereka akan kalah dan Perdana Menteri Muhyiddin perlu letak jawatan. 

“Jadi sebelum mereka kalah undi Ordinan Darurat ini, mereka fikir baik mereka batalkan dulu supaya mungkin ia tidak lagi perlu dibahas dan diundi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button