Berita Utama

Agong, Permaisuri solat Aidiladha di Masjid Tengku Ampuan Afzan

Seri Paduka berkenan saksikan ibadah korban sembilan ekor lembu

KUANTAN, 10 Zulhijjah 1441H, Jumaat – Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini, berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha bersama jemaah di Masjid Tengku Ampuan Afzan di sini.

Keberangkatan Seri Paduka yang diiringi Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke masjid itu pada jam 8.25 pagi, disambut Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan pentadbiran negeri Pahang.

Turut berangkat menunaikan solat sunat itu ialah anakanda Seri Paduka berdua termasuk Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah yang kesemua mereka sedondon mengenakan baju Melayu berwarna kelabu.

Solat sunat itu dipimpin oleh imam besar masjid Mohd Hafiz Suhaili manakala bacaan khutbah Aidiladha disampaikan Kadi Kuantan Abdul Aziz Abd Karim.

Seri Paduka juga berkenan menyaksikan ibadah korban melibatkan sembilan ekor lembu yang diadakan di perkarangan masjid sebelum berangkat pulang. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button