Berita Utama

Polis siasat himpunan Hartal Doktor Kontrak

Tempoh PKP, tiada siapa dibenarkan untuk berhimpun

KUALA LUMPUR, 16 Zulhijjah 1442H, Isnin – Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa, tiada sesiapa pun dibenarkan untuk berhimpun.

Justeru, Polis Kuala Lumpur akan membuka kertas siasatan berhubung himpunan Hartal Doktor Kontrak membabitkan doktor-doktor kontrak di Hospital Kuala Lumpur (HKL) hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, tiada sesiapa dibenarkan berhimpun atau terlibat dalam apa jua perhimpunan.

Tidak kiralah di mana-mana tempat bagi apa jua maksud sama ada keagamaan, sosial, sukan, perkahwinan atau kebudayaan tanpa mendapat kebenaran Ketua Pengarah Kesihatan, katanya

“Larangan ini adalah seperti mana yang terkandung di bawah Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPPB)(Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan)(Pelan Pemulihan Negara) 2021,” katanya seperti dilapor Kosmo!.

Dilaporkan, kira-kira 50 orang doktor kontrak berhimpun di tingkat enam kawasan parkir di Hospital Kuala Lumpur sekitar jam 11 pagi tadi.

Himpunan tersebut didakwa sebagai tanda tunjuk perasaan bagi menuntut lantikan tetap termasuk manfaat serta kriteria hitam putih bagaimana mendapatkan lantikan tetap itu, yang dibimbangi tidak dilakukan secara telus.

Terdahulu, pada 23 Julai, kerajaan bersetuju melanjutkan kontrak perkhidmatan selama dua tahun untuk pegawai perubatan, pergigian dan farmasi setelah tamat tempoh perkhidmatan wajib mereka.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, langkah itu adalah untuk memastikan kesinambungan perkhidmatan dan juga sebagai persiapan bagi doktor muda mengikuti latihan kepakaran.

Beliau berkata, Kabinet juga bersetuju untuk melanjutkan kontrak perkhidmatan sehingga maksimum empat tahun bagi pegawai perubatan dan pergigian yang diterima untuk mengikuti latihan kepakaran selama dua tahun pertama kontrak mereka.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button