Berita Utama

Kenapa pampasan penyelesaian tuntutan Apandi dirahsiakan?: Tun M

Anggap bekas Peguam Negara tak layak dapat pampasan

BANGI, 26 Rejab 1444H, Jumaat – Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan tindakan kerajaan merahsiakan terma-terma penyelesaian tuntutan Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadapnya dan kerajaan, berhubung penamatan kontrak sebagai Peguam Negara.

Bekas Perdana Menteri itu turut keliru dengan keputusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman.

“Saya keliru dengan keputusan Azalina untuk merahsiakan penyelesaian tuntutan Apandi berhubung pampasan bagi pemecatan beliau.

“Mohamed Apandi yang merupakan bekas Peguam Negara bagi kerajaan Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Razak telah membuat tuntutan beliau secara terbuka, malah beliau mengumumkan jumlah itu sebanyak RM2,233,599.36.

“Namun, pampasan yang dibuat oleh kerajaan adalah rahsia. Kenapa?,” soalnya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Menurut Dr Mahathir, beliau mempunyai sebab untuk mengetahui perkara itu kerana percaya bahawa Apandi tidak layak mendapat pampasan berkenaan.

“Saya mempunyai sebab untuk mengetahui sebabnya kerana saya tidak fikir Apandi layak mendapat pampasan itu sama sekali,” katanya.

Rabu lalu, Azalina menerusi jawapan bertulis menjelaskan Mohamed Apandi dan Jabatan Peguam Negara telah bersetuju untuk tidak mendedahkan syarat penyelesaian itu.

Katanya, keputusan itu diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Katanya, kes sivil tersebut telah diselesaikan di luar mahkamah atas persetujuan kerajaan tanpa sebarang pengakuan liabiliti.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button