Presiden Tunisia pecat Perdana Menteri, beku Parlimen
Rakyat anggap parti Ennahda bertanggungjawab atas keadaan ekonomi, sosial dan kesihatan negara yang merosot

TUNIS, 16 Zulhijjah 1442H, Isnin – Presiden Tunisia memutuskan untuk membekukan Parlimen, menggantung kekebalan semua timbalan menteri dan memecat Perdana Menteri, Hicham Mechichi dari jawatannya berikutan tunjuk perasaan besar-besaran di beberapa bandar di negara ini.
Kais Saied juga memaklumkan bahawa beliau akan mengambil alih jawatankuasa eksekutif dengan bantuan Perdana Menteri baharu
Saied mengatakan bahawa tindakannya selari dengan Artikel 80 Perlembagaan, dan juga memetik artikel itu untuk menggantung kekebalan anggota Parlimen.
Namun begitu, baik memecat Mechichi mahupun menggantung Parlimen – kedua-duanya tidak boleh dilakukannya di bawah Perlembagaan.
Menurut Perlembagaan Tunisia, ketika Artikel 80 digunakan, sesi Parlimen perlu berterusan, dan tidak boleh dibubarkan.
Mengecam tindakan itu, Speaker Parlimen Tunisia, Rached Ghannouchi menuduh Saied melancarkan ‘kudeta menentang revolusi dan Perlembagaan’.
“Kami menganggap institusi itu masih berdiri dan penyokong Ennahda dan rakyat Tunisia akan mempertahankan revolusi,” kata Ghannouchi, yang mengetuai Parti Ennahda.
Semalam, sejumlah pasukan keselamatan Tunisia cedera sementara penunjuk perasaan yang marah membakar sebuah kenderaan berperisai dalam pertempuran di Sfax.
Ini berlaku ketika penunjuk perasaan menyerbu markas parti Islam Tunisia, Ennahda di Tozeur, Kairouan dan Sousse.
Sebilangan besar rakyat Tunisia menganggap Ennahda bertanggungjawab ke atas keadaan ekonomi, sosial dan kesihatan negara yang merosot kerana kegagalannya menguruskan hal ehwal negara sejak ia berkuasa pada tahun 2011.
Noureddine El-Beheiry, tokoh terkemuka dalam parti Islam Ennahda, telah menyerang saluran Al Arabiya dan Al Hadath atas liputan tunjuk perasaannya yang berterusan di Tunisia dan mengancam penyokong Saied bahawa ‘mereka akan membayar harganya.’ – Agensi