Berita Utama

Tun M kata MPN tak perlu babitkan ahli politik

Hanya babitkan golongan profesional, yang biasa kendali pandemik, epidemik dan penyakit

KUALA LUMPUR, 16 Zulhijjah 1442H, Isnin – Pengerusi parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Majlis Pemulihan Negara (MPN) seharusnya menjadi sebuah badan tanpa penglibatan ahli politik.

Bekas perdana menteri itu berkata, badan berkenaan sebaliknya perlu mengandungi hanya golongan profesional, yang biasa mengendalikan pandemik, epidemik dan penyakit.

“Ahli politik pada dasarnya tidak faham perubatan, saya rasa saya tahu sedikit sebanyak kerana saya pernah dilatih sebagai doktor, tapi pastinya yang lainnya akan bercakap mengenai politik, semua yang mereka buat adalah berkisar mengenai usaha menjadi popular, dan dapatkan lebih banyak undi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam persidangan media maya selepas menghadiri sidang khas di Dewan Rakyat hari ini.

Jumaat lepas Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras bagi Pelan Pemulihan Negara (PPN) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilaporkan berkata MPN bersetuju menjemput wakil dari parti-parti pembangkang menjadi anggota majlis itu, selaras dengan pendekatan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang berdasarkan kepada prinsip-prinsip kolaborasi, inklusif dan penyatuan negara. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button