Dunia

Amerika bantah ICJ arah Israel tamatkan pendudukan di Palestin

Washington mahu mahkamah pertimbang keperluan keselamatan Israel

THE HAGUE, 12 Syaaban 1445H, Khamis – Sekutu kuat Tel Aviv, Amerika Syarikat (AS) memberitahu Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa ia tidak sepatutnya mengarahkan pengunduran tanpa syarat tentera Israel dari wilayah Palestin tanpa jaminan keselamatan.

ICJ, juga dikenali sebagai Mahkamah Dunia, ketika ini mendengar hujah kira-kira 50 negara sepanjang minggu mengenai isu pendapat yang tidak terikat berhubung akibat undang-undang pendudukan Israel.

Sebelum ini, Afrika Selatan dan Arab Saudi menuntut supaya Israel menamatkan pendudukannya di wilayah Palestin, yang berlaku selepas kemenangannya dalam perang Arab-Israel selama enam hari pada 1967.

Bagaimanapun, penasihat undang-undang untuk Jabatan Negara AS, Richard Visek mengambil pendekatan berbeza.

“Mahkamah tidak sepatutnya mewajibkan Israel berundur secara sah dan tanpa syarat dari wilayah yang diduduki.

“Sebarang langkah ke arah pengunduran Israel dari Tebing Barat dan Gaza memerlukan pertimbangan keperluan keselamatan Israel yang sangat nyata.

“Kami semua diingatkan mengenai keperluan keselamatan itu pada 7 Oktober, dan ia berterusan. Malangnya, keperluan itu telah diabaikan oleh ramai peserta,” katanya merujuk kepada serangan Hamas ke atas Israel.

Visek turut menggesa para hakim untuk berpegang kepada rangka kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ditetapkan bagi penyelesaian dua negara.

“Adalah penting bahawa mahkamah mengingati keseimbangan yang telah ditentukan oleh Majlis Keselamatan (PBB) dan Perhimpunan Agung adalah perlu bagi menyediakan peluang terbaik untuk keamanan yang berkekalan,” katanya.

Ucapan itu dibuat selepas AS memveto draf resolusi yang menggesa gencatan senjata segera antara Israel dan Hamas di Majlis Keselamatan PBB pada Selasa.

Terdahulu, Duta AS ke PBB, Linda Thomas-Greenfield berkata, resolusi itu ditolak kerana kononnya ia boleh menjejaskan rundingan damai untuk mendapatkan gencatan senjata sementara dan pertukaran tebusan Israel untuk tahanan Palestin oleh AS, Mesir, Israel dan Qatar.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button