Berita Utama

34 lokaliti di lima negeri dikenakan PKPD mulai Khamis ini

Gagal patuhi SOP, 60 premis diarah tutup

KUALA LUMPUR, 17 Zulhijjah 1442H, Selasa – Kerajaan akan mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 34 lokaliti di Sabah, Kelantan, Johor, Sarawak dan Pahang bermula Khamis ini hingga 11 Ogos depan.

Menteri Kanan Luar Negeri (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu diambil selepas meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di semua lokaliti terbabit.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, terdapat 27 lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD membabitkan 11 di Kota Kinabalu, Sabah iaitu Bandar Sierra, Kampung Unggun, Kampung Kalasanan, Lorong Cina 1, 2 & 3, Kampung Tebobon, Plaza Kingfisher, Polytechnic Commercial Centre, Kampung Pulau Penampang, Bandaran Segama, Taman Bukit Setia dan Taman Putera Jaya.

“Selain itu, lapan Lokaliti di Penampang, Sabah turut dikenakan PKPD iaitu Country Height Fasa 1, Cyber City Fasa 1, Kampung Nabangkung, Kampung Ramayah, Taman Vista Kiranau, Kampung Sarapung Kolopis, Vista Minitod dan Kampung Tuunon.

“Empat lokaliti lagi di Beaufort, Sabah ialah Kampung Lumadan, Kampung Kebulu Petani, Kampung Beaufort Selatan dan Taman Arjuna,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hishammuddin berkata, turut dikenakan PKPD di Sabah ialah tiga lokaliti di Tawau iaitu Kampung Blok 31, Kampung Tanjung Batu Darat dan Kampung Darat Inderasabah manakala satu lokaliti lagi di Kinabatangan iaitu Perumahan Ladang Tinabau.

“PKPD di Johor pula melibatkan Asrama Pekerja Tapak Bina Taman Bukit Perdana di Kluang dan Kampung Pertanian dan Kampung Separa, Mukim Senai di Kulai manakala terdapat tiga lokaliti dalam Bahagian Kuching di Sarawak turut dikenakan PKPD iaitu Kampung Jawa Batu 12, Kampung Bumbok dan Kampung Telaga Air.

“Turut dilaksanakan PKPD ialah Ladang Kerilla di Tanah Merah, Kelantan dan FELDA Jengka 7 di Maran, Pahang,” katanya.

Beliau berkata, PKPD di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lintas Sibuga di Sandakan serta Kampung Telaga dan Kampung Pituru di Pitas, Sabah; FELDA Jengka 8 di Jerantut, Pahang dan Kampung Jagoi Duyoh di Bau, Kuching, Sarawak ditamatkan esok seperti dijadualkan manakala PKPD di Taman Samudera, Mukim Batu di Gombak, Selangor pula ditamatkan esok iaitu lebih awal daripada yang dijadualkan pada 31 Julai.

Hishammuddin juga berkata, 60 premis meliputi 12 kilang, 40 premis perniagaan dan lapan tapak pembinaan diarah tutup semalam kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik COVID-19.

“Semalam juga, 438 individu dikompaun dan 27 individu lagi direman,” katanya sambil menambah 14 pendatang tanpa izin turut ditahan manakala empat kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button