Berita Utama

Jangan sebar, kongsi gambar mangsa nahas pesawat

Tindakan boleh diambil ikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

BANGI, 1 Safar 1445H, Jumaat – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan atau berkongsi visual serta gambar mangsa nahas pesawat jenis BeeChcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, semalam di media sosial.

Sebarang perkongsian membabitkan gambar atau video mangsa tragedi dan mana-mana pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, adalah penting untuk semua individu membuat pertimbangan sewajarnya dengan menurunkan gambar mangsa tragedi dan tidak menyebarkan atau berkongsi lanjut kandungan berkenaan.

“SKMM mengingatkan orang ramai kepentingan menghormati dan menunjukkan empati yang tinggi.

“Dalam kejadian pesawat terhempas di Elmina, adalah penting untuk kita menjaga sensitiviti dan mengelakkan diri daripada berkongsi gambar mangsa tragedi,” katanya.

SKMM menegaskan, berkongsi gambar mahupun rakaman video mangsa nahas bukan sahaja boleh menyinggung perasaan keluarga mangsa, malah melanggar prinsip serta etika yang paling asas.

Dalam kejadian di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, kesemua mangsa terdiri daripada dua kru pesawat, enam penumpang, seorang penunggang motosikal dan pemandu kereta terkorban dalam nahas terbabit.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilaporkan berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai Datuk Seri Johari Harun adalah antara nama yang tersenarai dalam manifest penumpang pesawat tersebut pada jam kira-kira 2.50 petang semalam. 

Turut tersenarai adalah dua juruterbang, Shahrul Kamal Roslan dan Heikal Aras Abdul Azim serta lima penumpang lain iaitu Kharil Azwan Jamaludin; Shaharul Amir Omar; Mohd Naim Fawwaz Mohamed Muaidi; Muhammad Taufiq Mohd Zaki; dan Idris Abdol Talib.

Bagaimanapun, Loke berkata, identiti dua lagi orang awam, masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang terlibat dalam insiden itu akan disahkan melalui siasatan polis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button