Berita UtamaDunia

Arab Saudi gesa rakyatnya keluar dari Ethiopia

Tentera Ethiopia siap sedia konfrontasi dengan pemberontak

ADDIS ABABA, 1 Rabiulakhir 1443H, Sabtu – Arab Saudi menggesa rakyatnya yang berada di Ethiopia meninggalkan negara itu segera, memandangkan timbul kebimbangan pemberontak Tigrayan melancarkan serangan terhadap Addis Ababa.

“Kedutaan Arab Saudi di Ethiopia menyeru semua warga Saudi di Ethiopia keluar secepat mungkin, ekoran situasi semasa,” kata kedutaan dalam satu kenyataan, menggesa rakyat terus berwaspada.

Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) membentuk pakatan dengan lapan puak antikerajaan lain untuk menggulingkan kerajaan Perdana Menteri, Abiy Ahmed.

Ia perkembangan terbaharu dalam perang selama setahun yang telah meragut ribuan nyawa dan menyebabkan lebih dua juta orang kehilangan tempat tinggal.

Pasukan Tigrayan dan sekutu telah mengancam untuk berarak ke Addis Ababa.

Sementara itu, tentera Ethiopia sedang bersiap sedia untuk konfrontasi dan telah meminta pesara tentera  menyertai semula pasukan bagi memerangi tentera Tigrayan.

Masyarakat antarabangsa juga telah memperbaharui gesaan untuk gencatan senjata.  

Setiausaha Negara AS, Antony Blinken pada hari Khamis berkata: “Kami menyeru Kerajaan Ethiopia menghentikan kempen ketenteraannya, termasuk serangan udara di kawasan penduduk Tigray dan mobilisasi militan etnik.”

“Kami juga menggesa pasukan Barisan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) dan Tentera Pembebasan Oromo (OLA) segera menghentikan kemaraan semasa ke arah Addis Ababa,” katanya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button