Berita Utama

Hartal Doktor Kontrak ‘kemuncak’ perjuangan sejak 2010

Perlu solusi kondusif, komprehensif tangani isu tuntutan lantikan tetap

BANGI, 17 Zulhijjah 1442H, Selasa – Kerajaan perlu memberi ruang mendengar sendiri keluhan dan tuntutan kumpulan doktor perubatan kontrak bagi memastikan penyelesaian yang kondusif serta komprehensif dapat dilaksanakan.

Ini kerana, isu lantikan doktor dan kakitangan kesihatan secara kontrak sudah menjadi perjuangan yang berlaku sejak awal 2010 dan berlanjutan sehingga kini.

Malah, Hartal Doktor Kontrak yang berlangsung serentak di seluruh negara semalam, menjadi kemuncak kepada perjuangan yang panjang itu, kata Presiden Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), Prof Dr Azizi Ayob.

“Sebenarnya, I-Medik telah menekankan isu ini sejak 2016 lagi terhadap lantikan kontrak ‘batch’ pertama, dan kita menjangkakan keadaan ini akan berlaku berdasarkan jumlah graduan yang keluar sama ada IPTA, IPTS dari dalam dan luar negara.

“Ini kerana jumlah graduan melebihi kemampuan KKM untuk membenarkan mereka melakukan latihan wajib dan diserap dalam lantikan tetap di bawah kementerian,” katanya dalam temu bual bersama Malaysia Hari Ini (MHI), pagi tadi.

Beliau berkata, gerakan seumpama itu sudah dijangka berlaku sekiranya dalam tempoh sejak 2010 sehingga 2016 sebelum ini, masih tiada satu perancangan kondusif menyelesaikan isu lantikan kontrak berkenaan.

Katanya, I-Medik memahami dan bersimpati dengan lebih 23,000 doktor kontrak Malaysia yang memperjuangkan isu ini, terutama dalam ketika tempoh pandemik COVID-19.

“Kita faham situasi sekarang meminta kedua-dua pihak sama ada doktor dan kakitangan kesihatan diberi sedikit ruang dan pada masa sama kerajaan juga mendengar serta menggariskan solusi yang lebih kondusif dan komprehensif.

“Sebulan lepas juga pihak kumpulan hartal telah membuat satu memorandum secara rasmi kepada kerajaan, dan sebenarnya KKM, SPA dan Perdana Menteri juga maklumkan mengenai isu itu,” katanya.

Dr Azizi berkata, penyelesaian yang diumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat lalu juga bersifat ‘win-win situation’ kepada kedua-dua pihak iaitu doktor kontrak dan kerajaan.

“Ini kerana solusi itu adalah langkah penyelesaian segera memandangkan kita dalam fasa pandemik.

“Kita perlu memikirkan kedua-dua pihak, meraikan kakitangan perubatan dan kesihatan serta pada masa sama kerajaan mesti melihat isu ini dengan lebih mendalam dan solusi lebih komprehensif,” katanya.

Hartal Doktor Kontrak diwujudkan bagi menuntut jaminan pelantikan tetap bagi doktor kontrak dan baharu, hak gaji serta kebajikan sama rata dengan doktor tetap, termasuk cuti dan faedah.

Difahamkan, sejak 2016, seramai 786 pegawai perubatan sahaja dilantik secara tetap, manakala selebihnya berkhidmat secara kontrak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button