Berita Utama

Gesa percepat PRU15, Tok Mat jangan terlalu ‘teruja’ perjudi nyawa rakyat

PRN pun berisiko tinggi apatah lagi PRU yang babit seluruh negara

BANGI, 17 Rabiulakhir 1443H, Isnin – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan diingatkan untuk tidak terlalu ‘teruja’ sehingga sanggup memperjudikan nyawa rakyat.

Ini susulan saranan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempertimbangkan agar Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat selepas BN berjaya membentuk kerajaan di Melaka.

Setiausaha Agung Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim berpandangan, tiada keperluan untuk mempercepatkan PRU15, apatah lagi kes positif COVID-19 juga kini menunjukkan sedikit peningkatan.

“BERJASA merasa terkejut dan amat pelik dengan kenyataan Tok Mat yang kelihatan tergesa-gesa mahu menekan PM bagi mempercepatkan PRU15 sebelum Julai 2022, semata-mata BN telah menang besar dalam PRN Melaka baru-baru ini.

“Tarikh tersebut telah dirangka bersama antara pihak kerajaan dan pembangkang mengambil kira faktor pandemik COVID-19 yang masih belum reda sepenuhnya.

“Bahkan PRN Melaka sendiri berlaku dalam keadaan sangat berisiko tinggi. Ramai pengundi terutama dari luar kawasan mengambil pendirian tidak mengundi kerana masih risau akan penularan pandemik yang telah membunuh jutaan manusia ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Atas sebab itu, Muhammad Lukman berkata, peratusan keluar mengundi menjunam kepada 61 peratus.

Selain itu, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku lonjakan kes di Melaka seperti yang berlaku selepas PRN Sabah yang lalu.

Malahan tidak mustahil juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 4.0 bakal dilaksanakan di seluruh negara, katanya.

“Jika PRN pun berisiko tinggi apatah lagi PRU yang akan melibatkan seluruh negara. Ini ditambah lagi dengan perangai buruk pimpinan politik negara yang tak faham bahasa dan melanggar SOP semasa berkempen.

“Jadi Tok Mat tak perlulah terlalu teruja sehingga sanggup memperjudikan nyawa rakyat. Jangan jadi seperti kaduk naik junjung. Kelak nanti menang sorak, kampung tergadai!” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button